Anggota kumpulan Bigbang, T.O.P dilaporkan akan menyambung semula latihan ketenteraannya sebagai pekerja khidmat sosial di pejabat daerah Yongsan mulai pertengahan Januari ini.

Menurut laporan Soompi, T.O.P akan melangsaikan baki 520 hari lagi perkhidmatannya dan dijangka selesai pada Jun 2019.

T.O.P memulakan latihan ketenteraan selama 120 hari pada Mac tahun lalu sebelum terpalit dengan kontroversi memiliki ganja.

Akibat daripada itu, T.O.P telah menerima hukuman dan jawatan yang digalas sebagai pegawai polis telah dilucutkan serta-merta serta tidak diterima untuk meneruskan latihan di kem tersebut sejak Jun tahun lalu.

T.O.P juga tidak dibenarkan aktif dalam sebarang kerja seninya sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, dua lagi anggota Big Bang iaitu G-DRagon dan Taeyang akan memulakan latihan ketenteraan pada pertengahan Februari ini.

Sumber: Soompi