HIBURAN
Taanusiya Chetty Seru Ibu Bapa & Guru Mainkan Peranan Penting Dalam Kesihatan Mental - “Saya Tahu Perasaan…”
Miss World Malaysia, Taanusiya Chetty menyeru agar ibu bapa dan tenaga pengajar memainkan peranan penting dalam membantu menangani masalah kesihatan mental kanak-kanak menerusi aktiviti luar yang menyeronokkan dan berinformasi.
Menurut Taanusiya, aktiviti melawat zoo ini sangatlah penting untuk kanak-kanak supaya mereka terdedah dengan persekitaran serta dapat menikmati keindahan alam semula jadi.
“Aktiviti kumpulan seperti ini sangat penting untuk ibu bapa dan guru kerana ia membantu mereka membawa anak-anak keluar dari persekitaran biasa.
“Ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga dapat membina semangat pada diri sendiri dan stamina,” katanya kepada Gempak.
Katanya lagi, dia memahami perasaan gembira yang sedang dialami oleh kanak-kanak itu dapat memberikan impak yang besar dalam diri mereka.
“Saya tahu perasaan kecil seperti itu sebenarnya boleh beri impak besar pada anak-anak.
“Ia bantu lepaskan tekanan dan beri kegembiraan yang ringkas tapi bermakna,” jelasnya.
Pada masa sama, Miss World Malaysia 2024 itu juga menyatakan bahawa dia percaya pendidikan bukan sahaja berlaku di dalam kelas tetapi melalui pengalaman di luar kelas juga.
Oleh itu, dia cuba untuk membawa kanak-kanak kurang bernasib baik ini membina kenangan yang bermakna dan mampu memberi sedikit informasi kepada mereka.
“Saya sendiri memperjuangkan hak kanak-kanak dalam bidang pendidikan. Sebab itu saya fikir penting sangat untuk bawa mereka ke tempat seperti zoo. Ia memberikan mereka rasa pencapaian bila dapat lihat haiwan depan mata,” katanya.
Bagaimanapun, Taanusiya juga ingin menekankan betapa pentingnya menghargai perkara kecil dalam hidup seseorang termasuklah kanak-kanak kerana ia mampu meninggalkan kenangan yang mendalam kepada mereka.
“Saya tahu banyak tempat yang boleh dikunjungi, tapi bawa anak ke alam semula jadi tak perlukan kos yang tinggi pun. Cuma satu momen indah yang mereka akan ingat sepanjang hidup mereka.
“Kesedaran tentang kesihatan mental itu boleh bermula daripada perkara yang paling kecil,” tegasnya.
Sementara itu, projek membawa kanak-kanak kurang bernasib baik ke zoo negara ini merupakan salah satu inisiatif dan tugasan Taanusiya Chetty untuk pertandingan Miss World pada tahun hadapan.
Must-Watch Video