HIBURAN
Tabber, Rad Museum & Miso Gegar Zepp Kuala Lumpur Oktober Ini!
Peminat muzik R&B alternatif Korea bakal disajikan dengan sebuah pengalaman muzik yang istimewa apabila label terkenal you.will.knovv mengumumkan jelajah Asia pertama mereka.
Malaysia menjadi salah satu lokasi terpilih dalam siri jelajah tersebut, yang akan menyaksikan kemunculan tiga artis utama label ini iaitu Tabber, Rad Museum dan Miso.
Konsert yang diberi nama you.will.knovv in Malaysia 2025 ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 4 Oktober 2025, bermula jam 8 malam.
Acara ini dianjurkan oleh penganjur hiburan terkemuka, TopGallant Show, yang terkenal dengan penganjuran konsert-konsert berskala antarabangsa di Asia Tenggara.
Label you.will.knovv ditubuhkan oleh penyanyi dan produser terkenal DEAN pada tahun 2017. Sejak penubuhannya, label ini dikenali kerana identiti muziknya yang unik, melangkaui batasan genre serta mengetengahkan gaya sonik yang atmosferik dan penuh nuansa.
Ketiga-tiga artis yang akan tampil dalam konsert ini menjanjikan persembahan yang penuh penghayatan dan emosi, mencerminkan keunikan muzik masing-masing.
Tabber, yang popular dengan suara garau serta keupayaannya menggabungkan rap dan nyanyian vokal, bakal kembali membuat persembahan di Malaysia. Tabber mula mencuri perhatian melalui Deep End Mix Tape yang dilancarkan pada tahun 2020 dan sejak itu telah berkolaborasi dengan nama-nama besar seperti ROMderful, Punchnello, Apro, Keyon Christ, Syd, Paul Blanco dan Yerin Baek.
Penyertaannya dalam musim ke-10 rancangan realiti Show Me The Money turut mendapat perhatian ramai. Pada tahun 2023, beliau melancarkan album penuh berjudul Madness Always Turns to Sadness.
Rad Museum pula kembali menemui peminat Malaysia selepas mencipta impak menerusi EP sulungnya bertajuk Scene pada tahun 2017. Beliau pernah dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Terbaik serta Album R&B/Soul Terbaik di Korean Music Awards 2018.
Album-album solo yang lain termasuk RAD (2022) yang memenangi Anugerah Album R&B Terbaik di Korean Hiphop Awards 2023, serta GIRL (2023) dan HOME SICK (2024) yang menerima pujian ramai.
Buat pertama kalinya, Miso akan tampil secara langsung di Malaysia. Artis ini mencatat sejarah sebagai penyanyi Korea pertama yang menyertai Red Bull Music Academy. Dengan tona vokalnya yang tersendiri serta pendekatan muzik yang melangkaui genre, Miso dikenali menerusi lagu-lagu seperti Take Me, Let It Go dan Alone.
Miso juga pernah berkolaborasi dengan nama-nama besar seperti Epik High, Crush dan PREP, sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara suara paling menonjol dalam arena R&B Korea kontemporari.
.jpg)
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual bermula jam 12 tengah hari pada hari Jumaat, 18 Julai 2025 menerusi laman web rasmi seperti my.bookmyshow.com, my.trip.com dan www.ctrip.com.
Harga tiket bermula dari RM238 untuk kategori tempat duduk biasa (CAT 2), RM338 untuk zon berdiri (CAT 1), dan RM538 bagi kategori VIP yang merangkumi pilihan berdiri serta tempat duduk khas.
Bagi yang berminat dengan kotak VIP eksklusif, mereka boleh menghubungi pihak penganjur terus melalui mesej di media sosial atau menerusi WhatsApp di talian +6012 816 2218.
Pemegang tiket VIP turut akan menerima pelbagai keistimewaan eksklusif, termasuk tag dan lanyard khas serta peluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah seperti 200 poster bertandatangan, 100 sesi foto peribadi dalam nisbah 3:1, dan 10 sesi bergambar berkumpulan dalam nisbah 3:10 yang melibatkan 10 peminat setiap kumpulan.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.topgallantshow.com.
Must-Watch Video