Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Tabby Dolla Pilih Kekal Imej ‘Bersih', Tak Mahu Terpalit Kontroversi Murahan - “Hasil Kerja Juga Mampu Beri Publisiti….”

Umirah Halim 18/05/2025 | 01:55 MYT
Anggota kumpulan Dolla, Tabby, lebih selesa untuk mengekalkan imej bersih tanpa terpalit dengan sebarang kontroversi atau gosip sepanjang pembabitannya dalam industri hiburan tanah air.
Menurut Tabby atau nama sebenarnya Tabhita Ariel Lam, 25, meskipun ada pihak beranggapan gosip boleh menjadi salah satu bentuk publisiti, namun dia percaya bahawa kualiti kerja jauh lebih penting untuk menonjolkan diri sebagai artis.
“Sejujurnya saya tak tahu nak komen jika ditanya kenapa saya tiada gosip panas. Saya rasa saya seorang yang ‘clean’ dan saya mahu terus kekal begini.
“Saya bersyukur dapat kekalkan reputasi tanpa sebarang gosip panas. Saya percaya untuk kekal sebegini juga perlukan ‘effort’,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Dolla berjudul MWA!, baru-baru ini.
Tabby turut menzahirkan rasa simpati terhadap anggota Dolla lain yang terpaksa berhadapan dengan tekanan akibat terpalit kontroversi yang kadangkala di luar kawalan mereka.
“Saya bersimpati dengan rakan-rakan saya yang lain kerana apabila mereka terpalit dengan gosip, mereka perlu menjawab. Saya tahu mereka tertekan.”
Ditanya sama ada dia sudah bersedia jika suatu hari nanti terpalit juga dengan gosip panas, Tabby berkata dia akan cuba sebaik mungkin untuk mengelak situasi itu.
“Kalau boleh saya tak mahu (ada gosip). Biarpun orang cakap tak kisah baik ke buruk sesuatu gosip itu adalah merupakan satu bentuk publisiti, tetapi saya percaya hasil kerja juga mampu beri publisiti buat saya,” katanya lagi.
Menerusi perkembangan lain, Dolla kini tampil dengan lagu single terbaharu berjudul MWA!.
MWA! digubah oleh Chelsea Warner, GASTON, Roland Lim Shi Jie, Tabby, Sabronzo, dan Angel; serta diterbit dan disusun oleh GASTON dan Roland Lim.
#Kontroversi #DOLLA #Tabby #Bersih