Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tabung Bantulah Fiza Capai Sasaran, Terima Kasih Rakyat Malaysia

Firdaus
31/12/2023 05:55 MYT
Tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan oleh Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bagi membantu wartawan hiburan yang meninggal dunia di Hospital Caring Call, London, Siti Nor Hafiza Kamarudin,40, mencecah RM40,585.34.

Presidennya Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sumbangan sudah disalurkan terus ke akaun suami allahyarham, Mohd Roshdi Ramli, 40, yang kini berada di sana.

BERITA TRENDING: Bekas Editor Gempak, Fiza Kamarudin Meninggal Dunia Di London

"Kami sangat bersyukur, hanya dalam masa 48 jam selepas dilancarkan, tabung Bantulah Fiza berjaya mencapai sasaran kutipan yang diperlukan bagi kos membawa pulang jenazah ke tanah air.

"Penderma adalah terdiri dalam kalangan rakan media, rakan-rakan artis dan orang ramai. Mereka ini bersama-sama memberi sumbangan sebagai tanda prihatin dan turut berdukacita atas pemergian arwah yang sebelum ini banyak memberi sumbangan kepada dunia penulisan seni dan hiburan tanah air.

"Seluruh keluarga WHAM merakamkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan semua. Setelah sasaran mencukupi, tabung Bantulah Fiza yang dianjurkan oleh WHAM ditutup," katanya.

Menurutnya, pihak keluarga masih menunggu dokumen kematian daripada pihak hospital bagi proses membawa pulang jenazah.

"Suami arwah ada memaklumkan kepada saya mungkin pada Selasa atau Rabu depan, baru dokumen kematian dikeluarkan.

"Memandangkan ketika ini ramai petugas sedang bercuti bagi sambutan Krismas, urusan mendapatkan dokumen kematian akan mengambil sedikit masa. Selepas dokumen kematian diperolehi, ia akan disusuli urusan dengan pihak syarikat pengurusan jenazah di sana, diikuti urusan dengan syarikat penerbangan bagi membawa jenazah ke Malaysia," katanya.

PILIHAN PEMBACA: "Kerusi Roda Diguna Di London Ihsan Neelofa" - Adik Fiza Kamarudin

Menurutnya, kerjasama daripada pihak Kedutaan Malaysia di London dan sahabat media di sana menjadikan segala urusan Allahyarham dan keluarganya berjalan dengan baik.

"Suami dan dua anak arwah yang kini masih berada di London juga mendapat bantuan daripada pelbagai pihak, termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan pengawai media beliau juga berjaya mendapatkan tajaan penginapan sementara untuk keluarga arwah di sana, sementara menanti penerbangan pulang ke tanah air yang dijangka hanya dapat dilakukan pada minggu depan," katanya.

Fiza adalah pengarang portal Boom Malaysia sebelum ini pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat media antaranya Sinar Harian, RTM dan portal Astro Gempak.

Dia yang juga pengidap kanser payudara pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow beberapa jam sebelum penerbangan pulang ke Malaysia selepas percutian yang ditaja, bersama keluarga.

Dia kemudian dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.30 malam (waktu Malaysia).

#Viral #Tabung #Fiza #Fiza Kamaruddin
;