Pelawak Che Mat berkongsi rasa terharu selepas melihat perkembangan kesihatan sahabatnya, Jibob yang semakin stabil.

Che Mat berkata, ketika melawat Jibob di kediamannya beberapa hari lalu banyak perkembangan positif yang ditunjukkan.

“Selepas menjalani pembedahan memasang semula tempurung kepalanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 12 September lalu, Jibob dibenarkan pulang ke rumah pada 14 September.

“Tapi dia masih perlu dipantau dan pergi ke hospital untuk pemeriksaan berkala,” katanya.

Che Mat turut berkongsi berita positif mengenai sahabatnya itu di laman sosial Instagram (IG)nya.

“Alhamdulillah, dia dah makin sembuh. Jibob, tadi masa aku tolak hang naik wheelchair dari bilik air ke ruang tamu, aku teringat momen kita masa MLM (Maharaja Lawak Mega) hari tu aku tolak hang pakai benda alah ni.

“Tapi situasi tak sama. Aku doakan hang cepat sihat macam biasa Jibob,” tulisnya.

Ahli kumpulan OnxOn itu menulis kapsyen berkenaan pada sebuah hantaran video yang memaparkan Jibob sedang menonton televisyen.

Jibob pada 5 Mac lalu terjatuh dalam bilik air di rumahnya dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Doktor kemudiannya melakukan pembedahan membuang darah beku dan menyebabkan termpurung kepalanya terpaksa dibuang.

Sementara itu memetik laporan Harian Metro, isteri Jibob Siti Aisyah Wahiddin berkata suaminya akan dibawa menjalani fisioterapi bulan depan.

"Beberapa rakan artis antaranya Che Mat dan Sharnaaz Ahmad ada menghubunginya bagi bertanya khabar dan dia nampaknya gembira.

"Alhamdulillah setakat ini dia sudah tiada serangan sawan. Apabila dia makin sihat, dia akan menjalani fisioterapi bulan depan.

"Ingatan semakin pulih tapi emosinya belum stabil lagi," katanya. Ditanya berkenaan bantuan yang diterima, Aisyah berkata, hanya Sharnaaz yang menghulurkan sumbangan peribadi.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula dalam proses untuk meluluskan bantuan buatnya.

Sebelum pembedahan, Jibob dikunjungi pelakon Didie Alias program Merisik Khabar dan menghulurkan sumbangan peribadi," katanya.