Agensi 51K secara rasminya telah mengumumkan bahawa ahli kumpulan 2PM, Taecyeon tidak memperbaharui kontraknya dengan JYP Entertainment.

51K meluahkan rasa gembira dan bertuah kerana dapat bekerja dengan Taecyeon yang merupakan seorang penyanyi dan pelakon.

Agensi itu turut menyatakan yang mereka akan memberikan sokongan penuh kepada Taecyeon supaya mampu mempamerkan bakatnya melalui pelbagai karya.

"Sepanjang Taecyeon berada di dalam kumpulan 2PM, rata-rata peminat telah menunjukkan kasih sayang sepenuhnya kepada Taecyeon.

"Jadi kami akan melakukan yang terbaik supaya Taecyeon masih meneruskan aktiviti seperti biasa bersama kumpulan 2PM dan JYP Entertainment.

"Kami juga akan melakukan yang terbaik bersama Taecyeon supaya bukan sahaja bakatnya menyinar di Korea tetapi di seluruh dunia," kata wakil agensi 51K.

51K turut berkongsi yang Taecyeon berasa gembira untuk memulakan kehidupan baru selepas selesai menjalani latihan ketenteraan.

Teks: Noor Zulaikha Yusof
Sumber: Soompi