Pelakon Nabila Huda, 37, mendedahkan filem Munafik adalah filem seram pertama yang dilakonkannya iaitu pada tahun 2016.

Berkongsi pengalamannya, Nabila atau lebih mesra disapa dengan Abil berkata dia dikehendaki untuk memakai kanta lekap berwarna hitam dan terpaksa melontarkan dialog di dalam bahasa Arab.

"Ini adalah adegan rasuk pertama saya! Filem seram pertama saya. Babak ini kita shoot pukul 2 pagi ke atas hingga siang. Babak berdurasi 5 minit diselesaikan dalam 2 atau 3 hari kalau tak silap.

"Sebelum pakai kanta lekap warna hitam tu saya menangis bagai nak rak sebab sakit gila, dia cover full mata jadi kena kepak kan kelopak mata masa nak masuk kan.

"Terjemahan dialog bahasa Arab tu dibuat pada pagi itu juga masa nak masuk set nak shoot babak itu. Semua dialog Arab saya olah balik ke bahasa pasar tapi makna yang sama yang diberikan oleh pengarah atas bantuan kawan baik saya @khaliqhusseinharith dari Singapura!

"Mesej dia pada pukul 3 pagi atau 4 pagi untuk minta terjemahan. Nasib tak tidur lagi!" tulisnya di Instagram (IG).

Tambah anak kepada penyanyi Amy Search, dia akui sukar untuk membaca dialog bahasa Arab dengan keadaan set penggambaran yang gelap ditambah pula dengan matanya yang rabun.

Menjadi seorang yang kreatif, pelakon drama Kamar Kamariah itu menampal prompter sendiri di bahu pengarah Syamsul Yusuf.

"Selama penggambaran di set gelap dan saya nampak semua soft focus kerana rabun dan ditambah dengan kanta lekap tu. Sebenarnya saya tak yakin sebab tak boleh nak tengok semua benda dengan jelas tapi tawakal ja.

"Kelemahan saya adalah saya susah nak ingat atau nak menghafal benda lain dari naskah. Skrip untuk 50 halaman saya mudah ingat tapi bahasa Arab. Ini tidak mudah. ​​Serius! Haha.

"Saya menulis prompter saya sendiri lekat kat bahu @syamsulyusoffilm masa saya close up shot. Jadi bayangkan, rabun tapi nak baca bahasa Arab tu kat kertas, sambil kena rasuk, tapi mata tak boleh gerak ke kiri kanan nampak macam membaca dan pada masa yang sama , ada pergerakan tangan dan kepala.

"Banyak adegan yang dibuat dengan 1 kali saja. Ini adalah babak yang paling gugup saya nak buat sebab takut tak boleh buat. Ya la tak pernah buat adegan kerasukan. Sejujurnya, saya memang takut sangat," tulis Abil.

Dalam pada itu, pemilik nama Nabila Huda Suhaimi menyatakan sepanjang tempoh penggambaran keadaan diri dan emosinya tidak stabil kerana ini adalah filem paling mencabar pernah dilakukan.

Namun begitu, dia bersyukur kerana segala penat lelah berulang alik dari Janda Baik ke Kuala Lumpur membuahkan hasil selepas dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28.

"Sepanjang penggambaran filem ini memang emosi tak stabil sebab terlalu penat, tak cukup rehat, badan sakit-sakit dan penuh kerisauan.

"Saya ulang alik Janda Baik ke Kuala Lumpur setiap hari sampai bawa kereta sambil menangis sebab dah terlalu penat pergi kerja petang waktu orang balik kerja jalan sesak, balik 8 pagi waktu orang pergi kerja. Drama bukan?

"Ini adalah filem pertama yang paling mencabar dan menguji mental dan fizikal. Atas segala cabaran untuk menjayakan watak ini, saya dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 untuk pertama kalinya!! Dan sangat berbaloi! Saya bersyukur," tulisnya lagi.