Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini mengadakan majlis penyerahan Penerima Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) secara maya kepada 81 buah syarikat produksi dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM46,9 juta.

Majlis Penyerahan Surat Tawaran DKD itu disempurnakan oleh YB Menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah.

Menerusi kemas kini dalam laman Facebook Finas, Saifuddin mengucapkan tahniah kepada 81 syarikat produksi yang terlibat. Melalui inisiatif tersebut, dijangka dapat memberi sebanyak 3175 peluang pekerjaan.

"Tahniah kepada 81 syarikat produksi yang menerima jumlah peruntukan RM46.9juta, bakal menyediakan 3175 peluang pekerjaan. Yang belum terpilih terus mencuba rezeki, insyaAllah," tulis kapsyen bersama foto dan data produksi yang menerima dana tersebut.

Penerima dibahagikan mengikut kategori dana dengan yang terbanyak adalah Dana Filem Cereka yang melihatkan 60 buah syarikat termasuk GV Media Broadcast Sdn. Bhd., Panggung Semarak Sdn. Bhd., Radius One Sdn. Bhd., dan Playground Sdn. Bhd. Ia membabitkan sekitar RM40 juta dana.

Dana Dokumentari sebanyak RM1.84 juta pula diberikan kepada 7 syarikat, termasuk Four Frames Sdn. Bhd. dan Ketika Studio Sdn. Bhd, manakala 6 syarikat dengan dana sebanyak RM900 ribu diagihkan dalam kategori Dana Pemasaran.

Dana program TV/OTT kerjasama khas Astro yang membabitkan 8 syarikat pula sebanyak RM3.7 juta. Antara penerima kategori ini adalah Mermaid Studios Sdn. Bhd., Viper Studio Sdn. Bhd., Kuasatek Pictures Sdn. Bhd. dan Monsoon Pictures Sdn. Bhd.

Inisiatif DKD ini dilaksanakan untuk memudahkan dan menggalakkan penggiat industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi serta mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif di pasaran domestik dan global.