Tahniah! Astro Awani Rangkul Anugerah Antarabangsa, Berjaya Ungguli Empat Kategori DMA 2022
Awani
05/11/2022 03:53 MYT
05/11/2022 03:53 MYT
Astro AWANI mengungguli Anugerah Digital Media Asia (DMA) 2022 selepas memenangi empat anugerah yang dipertandingkan.
Menerusi anugerah berprestij itu, Astro AWANI menerima emas bagi anugerah 'Best Branded/ Sponsored Content Campaign' atau kandungan jenama menerusi laporan 'Agro-X by Agrobank'.
Turut memenangi emas menerusi kategori Projek Khas Terbaik COVID-19 ialah kandungan digital 'COVID-19: Data dan Informasi Setakat Ini'.
Selain itu, Astro AWANI turut merangkul perak bagi kategori 'Best Newsletter' (Berita Ringkas Melalui Emel Terbaik) menerusi kandungan yang dimautkan dalam 'Tujuh Topik Terhangat'.
Laporan 'Rentas Jambatan Endemik' juga turut merangkul perak dibawah kategori sama.
Menurut Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, “Kemenangan ini mencerminkan kehendak pengguna dan penonton terhadap kandungan kreatif kian sofistikated.
“Penonton sentiasa mahukan kualiti kandungan yang terbaik, seimbang dan konstruktif. Terima kasih kepada penonton dan penganjur WAN-IFRA di atas penganugerahan di peringkat Asia,” ujarnya.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan antarabangsa yang pertama dimenangi oleh platform berita paling dipercayai di Malaysia itu yang mana turut membuktikan strategi kandungan digital Astro AWANI telah berjaya mengambat panel juri dari Persatuan Penerbit Berita Sedunia (WAN-IFRA).
Kemenangan ini sekali gus mengukuhkan lagi komitmen platform berita itu untuk mengembangkan kandungan digitalnya ke tahap lebih tinggi.
Selain Astro AWANI, platform antarabangsa lain yang turut dicalonkan termasuk Tatler Asia, MediaCorp, Economist Impact, The Strait Times (SPH Media) dan pelbagai lagi.
Anugerah DMA 2022 merupakan anugerah antarabangsa yang mengiktiraf industri media khusus dalam penerbitan berita sedunia menerusi kandungan digital dan teknologi.
Sejak dilancarkan dan memasuki tahun ke-14 penganjurannya, DMA telah menghimpunkan ratusan pemain industri setiap tahun yang terdiri dari kalangan penerbit, editor dan eksekutif digital dari pelbagai platform digital.
Selepas dianjurkan di Hong Kong pada tahun lalu, kali ini Singapura dipilih menjadi tuan rumah buat acara berprestij itu.
Tahun lalu, DMA 2021 disertai lebih 915 peserta yang mewakili 342 organisasi dari 41 negara.