Tahniah! Buat Kali Ke-10, Azizulhasni Awang Raih Raja Pecut Asia

Zulaikha Yusof
Oktober 22, 2019 03:04 MYT
Jaguh pelumba negara, Mohd Azizulhasni Awang telah muncul sebagai Raja Pecut Asia buat kali ke-10 semalam.
Menurut laporan Astro Awani, Azizul meraih pingat emas acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan pada 17 hingga 21 Oktober.
Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon, pelumba berusia 31 tahun itu menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto 2-1.
The Pocket Rocketman yang tewas pada pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.
Sebaik loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang dikawal rapi oleh Wakimoto, melakukan kayuhan sekuat tenaga sekali gus meninggalkan pelumba Jepun di tempat kedua.
Terdahulu, Azizulhasni merekod masa 9.977 saat, iaitu keempat terpantas pada pusingan kelayakan.
Azizulhasni sebelum itu menyumbang pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu pada Jumaat lalu.
Sumber: Astro Awani
#Azizulhasni Awang #Azizulhasni Awang #Raja Pecut Asia