Bekas pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei telah menjadi atlet pertama Malaysia yang miliki patung lilin di Madame Tussauds.

Menerusi Astro Awani, Madame Tussauds Hong Kong dalam satu kenyataan berkata, sesi perbincangan mengambil masa enam jam untuk membangkitkan keterujaan kepada pasukan.

"Dalam tempoh perbincangan, Chong Wei bukan hanya memberi kerjasama penuh, dari semasa ke semasa, beliau bergurau bagi membangkitkan suasana dan membuat pasukan ketawa tanpa henti," kata kenyataan itu.

Sementara itu, menurut Ketua Pemasaran Madame Tussauds Hong Kong, BoBo Yu turut berkongsi keterujaan terhadap tarikan terbaharu itu dan menegaskan Malaysia merupakan pemasaran yang penting untuk muzium tersebut.

"Selepas melancarkan figura lilin Tan Sri Michelle Yeoh pada 2015, Chong Wei akan menjadi figura Malaysia kedua yang akan menarik perhatian ramai.

"Kami sangat berbesar hati kerana atlet terhebat ini sudi menyertai kami," katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei turut melahirkan rasa kagumnya apabila lilin tersebut dihasilkan dengan penuh teliti.

"Saya kagum bagaimana mereka merekodkan maklumat dengan begitu teliti termasuk warna rambut saya dan mata.Saya berasa sangat dihormati dan bersyukur dapat mewakili Malaysia.

"Saya harap figura lilin saya ini akan memberi inspirasi kepada semua warga Malaysia bagi mengetengahkan bakat mereka ke peringkat global," katanya.