Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Tahniah! Datuk Seri Eizlan Yusof Dilantik Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas

Fiza Kamarudin
25/03/2021 06:50 MYT
Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkuatkuasa 15 Mac hingga 22 Mei 2022.

Pelantikan Eizlan ialah bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Norman Abdul Halim.

Finas menerusi sebuah kenyataan semalam (Rabu) memaklumkan, Eizlan yang merupakan Ahli Perbadanan Finas, kini turut memegang portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas.

"Finas merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Datuk Seri Eizlan Yusof atas pelantikan (baharu) beliau," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu Eizlan, memanjatkan rasa syukur dan menerima pelantikan tersebut dengan hati terbuka dan akan menjalankan tugasnya dengan baik.

“Alhamdulillah saya terima dengan hati terbuka apabila diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan ini.

“Saya tahu jawatan yang dipikul ini satu tanggungjawab besar melibatkan banyak pihak terutama dalam kalangan pemain industri hiburan tanah air,” ujarnya.

Dalam pada itu, Eizlan berkata bahawa dia perlu lebih bersedia untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

“Penyandang terdahulu (Norman) telah melaksanakan tugasnya dengan begitu baik sekali menerusi hala tuju dan garis panduan sepanjang menjawat jawatan sebagai Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas.

“Bagi saya, perancangan sedia ada sudah cukup baik dan saya tiada isu untuk meneruskan perancangan yang telah diatur oleh mantan pengerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Eizlan juga mahu membantu penerbit filem tempatan agar mereka mendapat peluang dan ruang bekerjasama dengan pengusaha panggung wayang.

“Kerjasama ini diharapkan dapat memaksimumkan kutipan tiket filem-filem tempatan dan pada masa sama membantu mereka menyediakan konten (filem) untuk ditayangkan di panggung wayang.

“Memandangkan sekarang negara sedang dilanda pandemik Covid-19 dan pada masa sama panggung wayang telah dibuka, mereka kekurangan konten untuk ditayangkan di panggung wayang,” jelasnya.

Justeru, Eizlan melihat kerjasama tersebut adalah satu peluang baik oleh penggiat filem tempatan untuk bekerjasama dengan pengusaha panggung wayang untuk sama-sama memperkasakan lagi industri kreatif tanah air.
#. #Eizlan Yusof #FINAS #Datuk Seri Eizlan Yusof #Pengerusi #Tayang #Wajib