Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan beberapa pelantikan baru.

Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi, Muhyiddin Yassin melantik

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Menurut beliau, pelantikan ini dapat membantunya menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Menerusi kenyataan sama, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

"Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.

"Selain itu, Muhyiddin bersetuju Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Difahamkan kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta merta.