Tahniah! Akhirnya tiga buah negeri membabitkan Perlis, Sarawak dan Labuan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 4 Ogos ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Muhyiddin menjelaskan tiga buah negeri itu beralih ke Fasa 3 PPN kerana menunjukkan prestasi yang amat baik buat masa ini.

"Pada mesyuarat petang ini juga, Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN.

“Alhamdulillah, sukacita ingin saya umumkan bahawa tiga buah negeri yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa Rabu, 4 Ogos 2021.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

"Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya," katanya.

Dalam kenyataan itu juga Muhyiddin menjelaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih memperhalusi kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin.

Selain itu beliau memaklumkan, MKN juga turut membincangkan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

"Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

"Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat," katanya lagi.

Perdana Menteri memaklumkan strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.