Kebelakangan ini pembedahan bariatrik semakin menjadi pilihan dalam kalangan pesakit obesiti yang dilihat sebagai salah satu kaedah penurunan berat badan terbaik malah berkesan.

Selebriti Malaysia seperti Aishah, Michael Ang dan Rahim Sepahtu antara yang melakukan pembedahan ini untuk kesihatan diri mereka.

Tetapi tahukah anda pembedahan bariatrik untuk merawat obesiti ialah salah satu daripada 90 sakit kritikal yang membolehkan pengeluaran akaun 2 KWSP (Pengeluaran kesihatan)?.

Bagaimanapun ada syarat-syarat dan kelayakan tertentu yang perlu dipatuhi pemohon untuk tujuan tersebut.

Syarat paling utama ialah laporan perubatan daripada doktor bagi menyokong permohonan anda (sekiranya layak).

Untuk info anda semua, pembedahan bariatrik sebenarnya bukan semata-mata untuk mengurangkan berat badan sebaliknya dilakukan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan dalam jangka masa panjang.

Secara asasnya pembedahan bariatrik terbahagi kepada tiga iaitu Sleeve Gastrectomy, Gastric Bypass dan Adjustable gastric band atau Band Gastrik boleh laras.

Ketiga-tiga pembedahan ini secara asasnya mengurangkan saiz perut yang akan mengehadkan penyerapan dan pencernaan makanan ekoran pengambilan makanan dalam kuantiti terhad selepas pembedahan.

Pembedahan bariatrik boleh membantu mencegah atau merawat masalah kesihatan yang berkaitan dengan berat badan seperti kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, strok dan lain-lain.