Tahukah korang apa yang berlaku selepas korang selesai membuang air dan ‘flush’ atau pam tandas? Kemanakah air kotor itu akan pergi?

Air kotor iaitu air kumbahan yang mengalir akan pergi ke loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd melalui paip-paip pembetungan bawah tanah untuk diproses, sebelum dilepaskan kembali ke perairan seperti sungai.

Ini bermakna tanpa rawatan yang dilakukan IWK, air kumbahan dari rumah kita akan terus masuk ke sungai. Bila ini berlaku, kesannya kepada sungai adalah pencemaran sehingga sungai tidak lagi mengandungi oksigen dan menyebabkan ikan serta tumbuhan di dalamnya mati.

Inilah pencemaran alam sekitar yang sangat kotor. Oh tidak!

Apa lagi Indah Water buat?


Secara amnya IWK merupakan syarikat Milik Menteri Kewangan Diperbadankan, iaitu syarikat pembetungan nasional yang telah diamanahkan dengan tugas untuk membangunkan dan menyelenggarakan sistem pembetungan yang moden dan efisien untuk semua rakyat Malaysia.

IWK bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada 29 juta penduduk setara (PE), yang merangkumi seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Kerja-kerja kotor, sukar dan bahaya yang dijalankan IWK adalah sangat penting demi memelihara alam sekitar, melindungi sumber air dan kesihatan awam.

Indah Water Bukan Sekadar Uruskan Sisa Pembuangan?


Tapi tahukah anda, IWK bukan sahaja menguruskan sisa pembuangan dan kumbahan anda?

IWK telah melangkah lebih jauh ke hadapan untuk memikirkan cara bagaimana menjadikan sisa kumbahan yang telah dirawat di loji IWK menjadi sesuatu yang lebih bernilai dan berguna kepada manusia. Bolehkah?

Mengikut Laporan Kelestarian IWK 2021, berikut antara perkidmatan dan perniagaan bukan teras yang dijalankan oleh IWK:

#1 Inisiatif sumber air kedua

IWK telahpun memulakan inisiatif air pulih guna di mana air sisa kumbahan yang dirawat dari loji rawatan kumbahan IWK akan melalui proses rawatan sekali lagi di Loji Air Pulih Guna yang dapat diguna semula bagi kegunaan industri (bukan minuman).

Bagi inisiatif ini, IWK telah pun membentuk kerjasama dengan operator air iaitu Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Sdn Bhd, melalui syarikat tujuan khas, Central Water Reclamation Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Air Selangor dan IWK.

Melalui kerjasama ini, syarikat tersebut akan menguruskan air sisa terawat daripada loji rawatan kumbahan IWK bagi membekalkan air sisa terawat bukan minuman kepada industri yang bersesuaian. Loji Air Pulih Guna berkenaan akan menghasilkan air pulih guna yang boleh diguna oleh sektor perkilangan untuk tujuan pemprosesan, mencuci, mencairkan, penyejukan dan sebagainya.

Pastinya, kegunaan air pulih guna ini boleh menjimatkan sumber air bersih negara, sekali gus boleh jadi sumber air kedua negara!

#2 Askar Lalat Hitam (Black Soldier Fly Larvae)

Bila dah bercakap mengenai najis, secara automatik korang perlu terlebih dahulu mengetahui mengenai Biopepejal dan apa itu Askar Lalat Hitam atau Black Soldier Fly.

Biopepejal merupakan bahan organik yang boleh dikitar semula melalui proses rawatan kumbahan dan digunakan sebagai baja.

Menurut IWK, biopepejal juga boleh dicampur dengan sisa organik lain untuk diguna sebagai makanan kepada Askar Lalat Hitam. Seterusnya, Askar Lalat Hitam boleh dituai untuk menghasikan hidangan protein penuh lemak dan dijadikan makanan bagi ikan hiasan.

Apa benda Askar Lalat Hitam ni? Nama saintifiknya Hermetia Illucens adalah spesies lalat yang terdapat di negara beriklim tropika yang digunakan bagi memproses pelbagai jenis bahan buangan organik harian, selain memelihara sumber alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam.

Dengan inisiatif IWK ini, pelupusan biopepejal ke tapak pelupusan juga dapat dikurangkan secara tidak langsung. Korang juga perlu tahu, sebelum ini biopepejal yang dirawat IWK akan dibuang ke daratan, namun dengan adanya Askar Lalat Hitam, sisa kumbahan ini dijadikan makanan untuknya.

Proses penggunaan atau kitar semula ini juga boleh mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GRH). Bagi IWK, mereka mempunyai sasaran untuk mencapai 100% kitar semula biopepejal menjelang 2030 dan kurangkan 11,500 tan metrik gas GRH setahun. Jadinya, berbalik pada permulaan artikel ini, mungkin sekarang korang dah setuju bahawa bahan buangan kita sangat berharga dan mahal.

#3 Perniagaan bukan teras lain

Sejak tahun 2015, IWK telah lama meneroka penggunaan biopejal bagi penggunaan baja untuk tanaman bukan makanan terutama dalam menjalankan kerja-kerja landskap Bandar. Sebab itu, IWK telah bekerjasama dengan majlis perbandaran untuk menyediakan baja bagi kegunaan berkenaan.

Pada masa yang sama, dalam usaha ke arah penggunaan teknologi hijau, IWK juga telah menjalankan penggunaan solar di beberapa loji mereka.

Malah, IWK juga turut menyediakan perkhidmatan latihan pengurusan dan teknikal bagi pemain industri.
Selama hampir 30 tahun, IWK juga telah menyelenggara sistem pembetungan serta menguruskan sisa kumbahan yang cekap di Malaysia. Disebabkan perkhidmatan cemerlang mereka, perjanjian konsesi IWK telahpun dilanjutkan sehingga 31 Disember 2034 iaitu lagi 12 tahun lagi.

Pelanjutan ini juga meliputi pelaksanaan aktiviti perniagaan bukan tarif oleh IWK. Perkara ini bermakna IWK boleh melaksanakan perniagaan bukan teras (non-core business) dan inisiatif hijau untuk menambah aliran pendapatan utamanya serta penjimatan kos.