Skip to main content

Viral

Tahun 2020 Berbaki Kurang Dua Bulan Saja Lagi – Sedihkan? Banyak Kerugian, Namun Ada PENGAJARAN.

intrend-2020-main.jpg


Tiada siapa menduga begini rupanya keadaan kita pada tahun 2020. Yang satu ketika dulu, kita membayangkan tahun 2020 ini akan menjadi tahun paling mengujakan, hebat dan sangat dinanti. Apatah lagi, ketika di bangku sekolah dulu kita sering dilaungkan dengan perkataan Wawasan 2020. Semangat itu sentiasa ditiup ke dalam jiwa kita.
 
 
Lantas kita membayangkan tahun 2020 itu pastinya serba canggih. Maka, berimaginasilah kita akan kereta terbang, kapal terbang seperti robot, tentang angkasa lepas dan pelbagai lagi yang pastinya memberi kemudahan dan kehebatan berganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.
 
 
Dan, setelah menjengah sendiri ke tahun 2020 ini. Semua kita terkedu, tergamam dengan hakikat dan realiti yang berlaku pada tahun ini. Tiada apa yang terlalu hebat yang boleh dibanggakan. Malah, ada ketikanya lebih buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya, sehingga ada yang kata seperti mahu kembali ke zaman dulu kala yang lebih selesa.
 
 

Kredit Foto: Google



Coronavirus Membunuh Segala Impian

 
Pandemik yang melanda seluruh dunia mengejutkan semua manusia. Walau pada awalnya, kita menganggap ia tidak ubah seperti virus biasa yang sedia ada, yang pasti ada penawarnya nanti, rupa-rupanya ia berbeza sekali. Siapa sangka pada tahun 2020 ini kita berdepan musuh yang tidak kelihatan.
 
 
Virus Covid-19 paling jahat yang paling merosakkan seluruh kehidupan dunia. Ia berjaya membunuh semua impian makhluk. Ia juga menyebabkan kerosakan dan kerugian yang tidak terhitung banyaknya. Ia juga berjaya mengubah gaya kehidupan biasa kita kepada kehidupan norma baharu. Sungguh, ia begitu dasyat!
 
 
Kerana ia, ramai yang tersekat kebebasan. Kerana ia, ramai yang harus duduk di rumah. Kerana ia, ramai hilang pekerjaan. Kerana ia, ramai muflis tutup perniagaan. Kerana ia, keluarga berantakan. Kerana ia, masalah sosial berleluasa. Kerana ia, kes jenayah meningkat. Kerana ia, hal agama terbantut.


 

Kredit Foto: Google

 
 
Ada Pengajaran Perlu Direnung Bersama
 
 
Namun, janganlah terus bersedih. Kegagalan meraih kejayaan yang diimpikan pada tahun 2020 bukan bermakna berakhirnya kehidupan di dunia ini. Pasti ada hikmah di sebalik ujian hebat ini yang dirahsiakan Allah swt. Janganlah kita terus menyalahkan virus yang hadirnya juga atas izin yang maha Esa.
 
 
Di sinilah masanya untuk kita renung sejenak atas segala bahana dan musibah yang terjadi agar menjadi hikmah dalam kehidupan kita sendiri. Ternyata apa yang kita jangka dan sangka tidak terbanding dengan takdir yang menjadi rahsia Allah swt. Kita adalah manusia yang sangat lemah dan cetek pengetahuannya kerana tidak mampu menelah masa depan.
 
 
Kekuasaan Allah mengatasi segalanya. Kita menjangkakan tahun 2020 akan menjadi tahun paling gah, sedangkan Allah menjadikan tahun ini begini sudahnya. Tahun yang tidak membebaskan kita seperti selalunya. Namun, ambillah pengajaran yang tersirat. Ada kebaikan yang boleh kita kutip untuk meneruskan hidup pada tahun akan datang.
 
 
Bagaimana untuk terus kuat? Bagaimana untuk menjadi manusia yang sentiasa bersyukur? Kita diuji dengan sedikit sekatan kebebasan, sedangkan saudara kita di negara-negara yang sedang berperang, lebih terseksa hidup mereka, tiada tempat untuk melindung nyawa sekali pun. Kita diuji dengan penjagaan kesihatan yang lebih baik, itu sendiri sudah dianjurkan Islam.
 
 
Bagaimana kita menghargai masa bersama keluarga kala diminta untuk duduk diam di rumah? Jika selalunya, masa kita lebih banyak di luar mengejar kerjaya, perniagaan dan duit. Tahun 2020 menuntut banyak masa menghargai insan-insan di depan mata yang menjadi aset kita di akhirat kelak.
 
 
Dan, banyak lagi iktibar yang perlu kita renungkan daripada sudut positif. Janganlah terus berduka lara. Tingkatkan iman dan semangat diri. Jangan putus-asa dan rebah bersama ujian. Insya Allah, sama-sama kita doa tahun 2021 akan memberi sinar baru yang lebih cerah dan gemilang untuk dunia dan akhirat kita. Amin.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Advertisement

Must-Watch Video