Berhubung dengan Syafie Naswip yang sedang sibuk membuat penghantaran rendang hijau perniagaannya di akhir Ramadan, dia memberitahu buat pertama kalinya Hari Raya pertama dia tidak akan bersama dengan keluarga.

"Tahun ini Hari Raya pertama Ayie tak beraya dengan Mak dan Ayah. Bukan tidak mahu, tapi rasanya perlu. Tapi kami akan tetap berhubung melalui panggilan video dan sebagainya.

"Raya pertama hari yang dibenarkan ziarah menziarah, jadi untuk mengelakkan peminat datang ke rumah untuk bertemu Ayie, baik Ayie berjauhan dengan Mak dan Ayah," kata Syafie memberi sebab utama.

Menurut Syafie lagi, dia sememangnya sukar untuk menolak orang datang ke rumah ketika berhari raya, jadi perkara terbaik demi keselamatan ibu bapanya, dia sanggup berjauhan.

"Rumah keluarga tidaklah sebesar mana. Kalau ada orang datang dua tiga keluarga dah penuh rumah. Memang tidak akan ada penjarakan sosial.

"Ayie juga lebih pentingkan keselamatan dan kesihatan Mak dan Ayah. Itu yang paling utama di saat kita menghadapi Covid-19 ini. Mungkin ada segelintir yang masih belum faham. Jadi, lebih baik kita yang mengelakkannya," tambah Syafie lagi.

Kata Syafie, bila sudah tidak dibenarkan menziarah pada hari berikutnya, barulah dia akan bersama dengan ibu bapa tercinta.



Gempak bertanyakan jika ada kenangan manis yang berlaku sepanjang bulan Ramadan kali ini biarpun dalam keadaan yang lebih berjaga-jaga.

"Ada satu tu, Ayie dan adik Ayie baru pulang menghantar pesanan pelanggan sepanjang hari. Ketika itu sudah lepas berbuka puasa.

"Tiba pada satu sekatan jalan raya, seorang anggota polis bertanya kami dari mana dan hendak ke mana," cerita Ayie.

Tambah beliau, dia jujur dengan pihak polis tersebut dengan memberitahu mereka baru sahaja habis menghantar pesanan pelanggan dan sempat berbuka ala kadar dengan membeli roti dan air di stesen minyak.
>
"Pantas anggota polis tersebut meminta dua bekas makanan daripada rakannya dan memberikan kepada kami berdua.

"Mereka ini frontliners dan makanan itu diberikan kepada mereka, tetapi mereka bermurah hati memberikannya kepada kami," kata Syafie yang menganggap ianya satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang bulan puasa.

Ditanya jika ada pesanan buat peminat-peminatnya, Syafie memohon agar semua menjaga keselamatan masing-masing.

"Insya-Allah, umur panjang kita akan bertemu Ramadan dan Syawal lagi. Buat masa ini dalam keadaan kita hadapi dugaan Covid-19, mungkin kita perlu sedikit bersabar.
"Tak perlu kunjung mengunjung kerana kita semua nak jaga kesihatan masing-masing terutamanya orang-orang tua dan kanak-kanak. Beraya bersama ahli keluarga tahun ini, Insya-Allah tahun depan kita boleh menziarah kembali," kata Syafie memohon semua mendengar nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.
Syafie turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli keluarga, sahabat handai, serta peminat-peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini. Dia juga memohon maaf jika ada salah dan silapnya selama ini kepada sesiapa sahaja.