Penyanyi Tajul Arif mengakui ada bermasam muka dengan Tuah Adzmi ketika proses rakaman lagu terbaru berjudul Izinkan Aku.

Tajul berkata, ini merupakan kali pertama dia menyanyikan lagu ciptaan Tuah Adzami dan salah faham berlaku apabila pendatang baru tersebut menuduhnya membuat rakaman sambil lewa.

Ketika sesi tersebut berlaku pertikaman lidah sehingga kedua-duanya hampir bertumbuk, namun situasi tegang tersebut ditenangkan Mr.Ho, Pengarah Urusan FMC.

“Sebenarnya saya taknak sebut tentang hal ni, sebab saya tak suka besar-besarkan perkara yang remeh.
Tapi kalau dia masih nak bermasam muka itu hak dia.

"Sebab saya lebih suka bersikap profesional. Saya mengaku ada silap saya, tetapi bila dia tak nak faham keadaan saya waktu itu dan menuduh saya membuat rakaman sambil lewa, saya tak boleh terima.

“Kerana waktu itu secara kebetulan saya memang betul-betul kurang sihat dan tak cukup tidur sehingga menyebabkan tumpuan dan suara saya kurang baik sewaktu rakaman berlangsung.

“Saya cuma minta dia faham keadaan saya dan minta tangguhkan sessi rakaman tapi dia tetap paksa saya selesaikan rakaman vokal tu dan mengeluarkan kata-kata yang tak sedap didengar.

“Memang betul-beetul menguji kesabaran saya, tetapi Boss (Mr Ho) leraikan keadaan tegang itu dan saya pun sudah memohon maaf kepada Tuah.

“Saya amat menyesali dengan apa yang sudah berlaku dan memang salah saya saya juga kerana tak dapat kawal emosi,” katanya.

Izinkan Aku merupakan single terbaru Tajul yang dilancarkan pada 24 Disember (semalam), di semua saluran digital dan muzik video di saluran YouTube FMC Music.

Lagu yang berkisarkan tentang cinta berentak balada ini turut mendapat sentuhan lirik dari tajul sendiri.

Dalam pada itu, Tajul berharap agar 2021 membuka lembaran lebih baik dalam kehidupan dan kerjaya seninya.

“Dah nak masuk tahun baru, tambahan pula saya kini suami orang dan bergelar ayah, jadi saya tidak mahu perkara negetif mengganggu hidup dan perjalanan kerjaya saya.

“Apa yang saya lakukan kini hanyalah untuk isteri dan anak saya. Saya nak cari nafkah yang halal sebanyak mungkin demi mereka berdua.

“Alhamdulillah hidup saya kini lebih teratur dan bahagia, sejak ada anak ni saya rasa lebih bersemangat untuk tingkatkan kerjaya saya, saya nak isteri dan anak saya rasa hidup senang dan selesa.

“Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi anak seni dan popular seperti abang saya Achik, tetapi saya bersyukur kerana saya berusaha dan berdiri atas bakat sendiri tanpa menumpang Allahyarham kerana saya mula menjadi penyanyi setelah ketiadaan Allahyarham.

“Terima kasih pada semua peminat saya yang selama ini menyokong saya, semoga kalian terus menyokong ayah muda ini, agar dapat membuktikan kepada semua bahawa tidak salah berkahwin di usia muda asalkan suami rajin dan cekal bekerja demi keluarga dan anak.

“Saya juga berharap agar single Izinkan Aku ini diterima pendengar,” katanya bersemangat.