Berita
Tak Ada Idea Nak Masak Apa Hari Ini? Ini 5 Tukang Masak Popular Di Media Sosial Yang Boleh Bantu Anda
Baru-baru ini, tular kisah pemilik saluran Youtube Sugu Pavithra yang mengetengahkan kandungan berbentuk program masukan kepada umum.
Apa yang menariknya, saluran yang dikendalikan pasangan suami isteri keturunan India S. Pavithra, 28, dan suaminya, M. Sugu, 29, itu menggunakan bahasa Melayu sebagai medium perantaraan.
Bahkan, kejayaan Sugu Pavithra yang berjaya mencuri tumpuan netizen selain memperoleh hampir setengah juta subcribers dalam masa singkat itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain Sugu Pavithra, sebenarnya, memang tidak dapat dinafikan, banyak content berbentuk masakan yang ada di media sosial. Bukan sahaja di Youtube, bahkan ada juga yang menggunakan platform lain seperti Instagram dan Facebook.
Sebenarnya, saluran beginilah yang memberikan idea kepada kita semua ketika buntu tak tahu nak masak apa. Bahkan, ada juga yang daripada malas ke dapur, sudah mula rajin mencuba menu-menu baharu.
Justeru, hari ini Gempak senaraikan 5 tukang masak popular yang banyak menyajikan content berbentuk masakan di media sosial:
#1 Khairul Aming
Bagi orang bujang yang baru nak belajar masuk dapur, mungkin boleh ikut cara masak yang sering ditunjukkan oleh Khairul Aming.
Lelaki ini banyak berkongsi resepi masakannya di Instagram berbanding di Youtube. Di Intagram sahaja, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman ini mempunyai lebih 2.6 juta pengikut.
Menariknya, suntingan voice-over atas setiap video masakannya itu buat ramai orang tertarik, lucu pun ya! Yang pasti, resepinya semua mudah dan ringkas. Sesuai sangat untuk beginner!
Bahkan, setiap Ramadan, ada program satu hari, satu menu. Ada masa nanti bolehlah cuba.
#2 Raffie Yusoff
Anak kelahiran Terengganu ini dikenali dengan masakannya yang banyak dikongsikan di Instagram.
Mempunyai lebih 350,000 pengikut, Raffie tampil dengan menu-menu mudah dan ringkas. Cumanya, video-video masakannya tidak mempunayi voice over seperti Khairul Aming.
Selain berkongsi masakan di Instagram, pemilik nama sebenar Wan Mohd Raffie Wan Yusoff ini merupakan seorang pengusaha kek Indulge By Coco.
#3 AdikFoods
Kalau nak tengok masakan ala-ala orang yang dah berkeluarga, bolehlah cuba layan video yang ada di Instagram AdikFoods.
Wanita bernama Faezah Sufian ini memang penuh dengan celotehnya dalam setiap masakan. Adakalanya, terhibur juga dengan jenaka dan sindiran yang diberikan.
Menariknya, sekali-sekala, akan ada juga penampilan anak lelakinya yang kacak, Afiq yang turut mewarisi bakatnya dalam memasak.
#4 Che Nom
Difahamkan Che Nom ini asalnya seorang jurutera, namun, beralih arah dengan menjadi seorang Youtuber dengan video-video masakannya.
Mempunyai lebih setengah juta subscriber di Youtube, Che Nom menerangkan cara masakan menerusi voice over. Bukan setakat berkongsi resepi, banyak juga tips masakan yang boleh diperoleh bersam Che Nom.
Bagi isteri-isteri di luar sana, mungkin saluran Che Nom ini boleh membantu untuk beri inspirasi menu apa yang mahu disediakan setiap hari buat suami dan anak-anak.
#5 Buat Orang Lapo
Dikendalikan oleh wanita bernama Nazatul, saluran Buat Orang Lapo mempunyai lebih 486,000 subscriber di YouTube.
Apa yang menariknya, Nazatul juga menghasilkan video ala program masakan di televisyen. Ada kalanya video masakannya itu akan dilakukan bersama anak-anaknya.
Setiap video, pasti ada tagline, "Resepi mudah, Pasti buat korang lapor'.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!