“Tak Ada Keperluan Beli Kereta, Saya Lagi Suka Naik Train” - Khai Bahar
Mya Amri
17/01/2022 08:29 MYT
17/01/2022 08:29 MYT
Penyanyi, Khai Bahar mengakui tiada keperluan untuk membeli kereta kerana lebih selasa menggunakan pengangkutan awam.
Menurut Khai, jika ada keperluan penting membabitkan urusan kerja, dia akan menggunakan sama ada perkhidmatan e-hailing atau pun dijemput sendiri oleh pengurus peribadinya.
“Saya melihat tiada keperluan untuk saya membeli kereta sebab saya lebih suka naik train (LRT) untuk ke mana-mana.
“Bagi saya itu lebih mudah. Kalau saya beli kereta pun saya tidak tahu nak buat apa atau tak ada tujuan nak bawa pergi mana.
“Betul, sepanjang enam tahun dalam industri, saya memang tidak beli kereta. Seronoklah dapat naik train,” katanya kepada Gempak.
Malah tambah Khai lagi, untuk pulang ke kampung halaman juga dia menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) kerana lebih menyenangkan.
“Kalau balik kampung pun saya naik KTM, lebih mudah sebab masa menunggu tidak terlalu panjang.
“Walaupun perjalanan ke Perlis mengambil masa lima jam, tapi saya lebih selesa naik train. Cuma kalau saya nak cepat saya akan pilih pesawat.
“Walaupun artis tapi bagi saya, saya sama sahaja seperti orang lain, enjoy naik keretapi. Tapi itu tak bermakna saya tidak boleh memandu ya,” katanya bergurau.
Dalam perkembangan terbaharu, Khai bakal mengadakan Konsert Nafas Cinta yang akan berlangsung pada 12 Februari ini bertempat di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac).