Pelakon Nadhir Nasar tidak mempunyai masalah dengan pempengaruh media sosial (influencer) terkenal yang menceburkan diri dalam bidang lakonan.

Menurut Nadhir yang merupakan juara Hero Remaja 2020, jumlah pengikut yang ramai di media sosial juga terbentuk daripada kerja keras seseorang.

"Saya sangat okay dengan perkara ini, sebab apapun kita tahu, stesen televisyen buat duit.

"Kita juga kena tahu, bukan senang untuk dapatkan jumlah pengikut yang ramai, itu adalah rezeki dan hasil kerja keras seseorang.

"Sebagai contoh, seorang yang mempunyai sejuta followers di media sosial, dia buat content dan pelbagai perkara untuk dapatkan sejuta followers itu," katanya.

Nadhir berkata demikian ketika ditemui di majlis makan malam bersama barisan peserta Hero Remaja 2021 di The Chow Kit Ormond Hotel, Kuala Lumpur malam tadi.

Acara itu diadakan sempena mempromosi 25 filem ikonik James Bond yang ditayangkan menerusi saluran sementara 007, saluran 407, Astro Go dan On Demand bermula 15 Oktober hingga 7 November 2021.

Tambah Nadhir, isu influencer menjadi pelakon sepatutnya tidak diperkatakan secara berterusan, sebaliknya penggiat industri harus mencari penyelesaian terbaik.

"Daripada kita berlawan dan bercakap buruk sesama sendiri tentang isu ini, lebih baik kita bantu dan membina sesama sendiri.

"Sebagai contoh, kenapa yang influencer tidak pergi kelas dengan orang yang berbakat tapi tak ramai follower itu?

"Kita hanya bercakap tentang topik yang sudah lama tak berkesudahan, lebih baiklah cari penyelesaian," tuturnya menutup bicara.

Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.