Pelakon Daiyan Trisha menyangkal dakwaan sengaja menimbulkan gosip cinta dengan aktor Hafeez Mikail untuk tujuan melariskan filem gandingan pertama mereka, Busker.

Menurut Daiyan, dia tidak pernah terfikir untuk mencari publisiti murahan dengan menggunakan cara sedemikian dan ikhlas berkawan dengan Hafeez.

“Kalau pasal hubungan saya tidak mahu komen, bagi saya Hafeez memang seorang kawan yang sangat baik.

“Kami rapat bukan bersebab, tak ada niat langsung di hati saya untuk sengaja timbulkan gosip bercinta dengan Hafeez semata-mata untuk mempromosikan Busker.

“Memang benar kami semakin rapat sewaktu penggambaran Busker Disember tahun lepas dan sehingga kini saya masih selesa berkawan dengan dia.

“Mungkin kami selalu datang majlis bersama, jadi orang salah faham. Mereka ingat kami sengaja timbulkan gosip bercinta.

“Sebenarnya tidak, tak ada apalah. Mana ada bercinta, kami hanya berkawan baik sahaja,”jelasnya.

Daiyan ditemui ketika malam gala tayangan Perdana filem Busker bertempat di Mmcineplexes, E@curve, Damansara baru-baru ini.

Selain Daiyan, filem itu turut dibintangi oleh Hafeez Mikail, Bulan, Anas Ridzuan, Mas Khan, dan Elizabeth Tan.

Busker yang diarahkan oleh Syed Khairul Fariz ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 11 Januari 2018.

Foto: Instagram Daiyan Trisha & Hafeez Mikail