Bekas pemandu Rozita Che Wan (Che Ta), Muhammad Riduan memohon netizen berhenti mengecam pelakon tersebut kerana urusan pembayaran gaji yang tertunggak telah pun diselesaikan.

Muhammad Riduan memberitahu perkara tersebut menerusi kenyataan di Facebook miliknya sebentar tadi.

“Assalamualaikum Sahabat semua, Alhamdulillah kes saya ni dah settle dengan berkat doa dan bantuan anda semua gaji saya untuk bulan februari dan saman no plat kenderaan Che Ta dah settlekan.

“Terima Kasih untuk segalanya tanpa anda semua tak mungkin saya mampu hadapi seorang diri. Ribuan terima kasih kepada Abang Helmy Nordin dan rakan-rakan yang lain yang saya tidak mentioned di sini kerana terlalu ramai yang membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini.

“Di sini saya ingin meminta jasa baik semua untuk berhenti mengencam Che Ta kerana dia sudah menyelesaikan apa yang patut dia selesaikan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Riduan enggan melakukan permohonan maaf secara terbuka seperti yang diminta Che Ta dan menyatakan itu bukanlah kesalahan daripada pihaknya.

“Dia meminta saya untuk membuat pengakuan maaf secara terbuka yang akan dibagi peguamnya untuk menjelaskan penyelesaian perkara ini tetapi saya mengikut nasihat dari abang Helmy Nordin untuk tidak membuat pengakuan maaf secara terbuka itu oleh kerana itu bukan salah saya,” tulisnya.

Menerusi entri itu juga, Riduan berharap agar kes yang menimpa dirinya ini dijadikan peringatan buat majikan-majikan di luar sana.

“Untuk peringatan majikan mana-mana sahaja diluar sana ambi lah apa yang terjadi pada saya ini sebagai pengajaran dan jangan ingat kami sebagai driver ni tiada maruah dan bukannya hamba abdi yang boleh dipergunakan sesuka hati tanpa kerelaan.

“Dan jangan pernah mencabar kuasa viral siapa yang lagi kuat kerana itu yang akan memakan diri sendiri dan Allah itu maha Adil.

“Siapa yang benar pasti akan menang walaupun sesukar mana pun perkara itu. Saya harap anda semua jangan mengecam Che Ta lagi di Facebook dan akaun Instagramnya kerana perkara ini sudah diselesaikan di antara dua belah pihak.

“Kepada yang memberi sumbangan, saya ucapkan jutaan terima kasih di atas jasa dan simpati anda terhadap saya.

“Saya tak mampu untuk membalasnya tapi Allah yang akan membalas segala jasa baik anda semua terhadap saya dan alhamdulillah duit sumbangan anda itu saya gunakan untuk membayar apa yang patut saya bayar.

“Bagi saya anda semua lah Saudara saya dunia dan akhirat. Semoga Allah memberkati anda semua dengan limpahan rezeki dan kerjayaan dunia akhirat. Aamiin ya rabal al'amin,” coretnya.


Terdahulu, menerusi Facebook, bekas pemandu yang baru sahaja bekerja dua bulan itu mendedahkan Che Ta enggan membayar gajinya sebanyak RM2,000.

Foto: Facebook Muhammad Riduan / Instagram @rozitachewan1