HIBURAN
Tak Berkecil Hati, Ajai Doakan Konsert 4U2C Berjalan Lancar - “Industri Kita Kecil Jadi…”
Penyanyi dan komposer, Ajai akui tiada sebarang niat untuk menimbulkan sebarang isu menerusi komen yang diberikan berkaitan konsert ulang tahun ke-30 kumpulan 4U2C baru-baru ini.
Jelas Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, kenyataan yang diberikan hanyalah sekadar pandangan peribadi dan dia telah pun membuat permohonan maaf kepada pihak terlibat.
Jelas Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, kenyataan yang diberikan hanyalah sekadar pandangan peribadi dan dia telah pun membuat permohonan maaf kepada pihak terlibat.
“Selepas dia memohon saya membuat permintaan maaf saya sudah pun buat tuntutan itu, saya tak ada simpan rasa apa-apa. Pendapat saya hanya sekadar pendapat.
“Saya doakan agar konsert ini sukses, saya tak rasa masalah ini besar sangat ia hanya mengenai bagi atau tak bagi sahaja, saya harap ia dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Ajai turut mendoakan agar konsert WE 4U2C Live In Concert di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September depan berjalan lancar.
“Saya tiada niat pun nak tutup periuk nasi sebab itu selepas saya mendengar berita itu saya secepat mungkin saya menjawab. Sebab apa yang saya bagi tahu hanyalah fakta sahaja tapi kalau fakta saya mengusik hati saya mohon maaf.
“Saya dah mohon maaf dan saya nak konsert ini berjalan dengan lancar, kita industri kecil jadi kita perlu bagi sokongan,” tambahnya.
Terdahulu, kontroversi ini mula tercetus apabila komposer Man Senoi dan isterinya, Mama Rap yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang penganjuran We 4U2C Live In Concert walaupun mendakwa memiliki hak cipta sepenuhnya ke atas 25 lagu milik kumpulan hip hop 4U2C menerusi syarikat mereka, Zman Production.
Man Senoi dilaporkan mempersoalkan bagaimana pihak 4U2C mahu meneruskan konsert jika sebahagian besar lagu yang bakal dipersembahkan adalah milik syarikatnya secara sah.
Kenyataan tersebut kemudiannya mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada peminat, industri muzik serta individu dalam bidang seni tanah air, termasuk komposer Ajai yang turut menyatakan pandangan secara terbuka kepada media.