Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tak Berkesempatan Ziarah Kubur, Balu Abam Sedekah Makanan Untuk Pelanggan Kedai & Pelajar Maahad Tahfiz

Zulaikha Yusof
11/02/2021 04:17 MYT
Isteri kepada Allahyarham Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali melahirkan rasa syukur apabila niatnya untuk sedekahkan mi kari dan bihun sup kepada pelanggan yang datang ke kedai HidayahAbamHamzah sudah ditunaikan, semalam.

Ketika dihubungi Gempak, Norhidayah berkata dia akan meneruskan amalan arwah yang selalu bersedekah ketika hayatnya masih ada.

"Alhamdulillah, selesai sudah untuk agihan mee kari dan bihun sup untuk semua pelanggan yang datang ke kedai saya. Saya niatkan untuk Allahyarham suami saya, Syed Umar Mokhtar dan Allahyarham abang abang saya, Rosli, Azmi dan Ismail Mohd Ali.

"Saya buat tempahan mee kari dan bihun sup dengan adik, Mohammad Zainuddin Mohd Ali, adik ipar, Nor Farhana Nordin, sebanyak 100 pek setiap jenis.

"Syukur alhamdulillah, habis semuanya 200 pek disedekahkan kepada pelanggan-pelanggan yang datang dan juga untuk pelajar Maahad Tahfiz Darul Itqan Al‐Muhammadi, Batu 40, Sabak Bernam.

"Saya akan menyambung serba sedikit amalan yang arwah suami saya ajar. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh," katanya.

Tambah Norhidayah, dia mengakui sepanjang setahun ketiadaan arwah, banyak liku hidup dan cabaran yang terpaksa diharunginya.

Namun, dia bersyukur kerana Allah permudahkan serta tidak putus mendapat sokongan daripada ibu bapa dan ahli keluarga.

"Sepanjang setahun arwah tiada, tak dinafikan, terlalu banyak liku dan cabaran hidup saya. Tetapi alhamdulillah, Allah ada. Semuanya Allah permudahkan.

"Terima kasih pada abah, mak dan keluarga. Pada semua yang sentiasa sokong saya, sentiasa beri kata-kata semangat, sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk saya dan Hamzah serta untuk arwah suami saya. Semoga segala doa yang baik itu berbalik pada kamu semua juga," kata Norhidayah.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Norhidayah belum berkesempatan untuk menziarahi pusara suaminya yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

"Memandangkan pandemik Covid-19 semakin menular dan kita semua dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya masih belum berkesempatan untuk menziarahi kubur arwah suami saya tetapi tidak bermakna saya sudah melupakan.

"Tak pernah saya lupa untuk selit doa untuk arwah. Jika saya rindu, saya hanya mampu sedekahkan Al-fatihah serta melihat segala kenangan selama perkenalan sehinggalah dikurniakan anak," katanya lagi.

Abam meninggal dunia pada 10 Februari tahun lalu selepas dua hari mengalami demam. Arwah meninggalkan balu dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, yang kini berusia setahun tujuh bulan.

#Abam Bocey #Balu Abam #Mee Kari #Bihun Sup #Siti Norhidayah Mohd Ali
;