Pelakon Elisya Sandha mendedahkan yang kakaknya, aktres Fasha Sandha kini lebih berhati-hati untuk berkongsi sesuatu berita.

Kata Elisya, Fasha pernah mengalami keguguran selepas berkongsi berita kehamilannya kepada orang ramai.

"Insya-Allah, apabila sudah tiba masanya mesti dia akan kongsi, kena tunggu dan betul-betul dah disahkan mengandung atau tidak.

"Saya rasa mungkin Fasha kini lebih berhati-hati nak kongsikan sesuatu. Sebelum ini dia pernah tersilap kongsi kehamilan terlalu awal tapi Allah uji dengan keguguran.

"Jadi kali ini dia belajar daripada kesilapannya," katanya kepada Gempak ketika ditemui di sidang media Havoc Food Festival di Red Box Karaoke The Gardens semalam.

Fasha seakan memberi bayangan kini dia sedang hamil selepas berkongsi satu foto bersama suami, aktor Aidil Aziz dan dua orang anaknya dengan kapsyen 'berlima'.

Tambah pelakon drama Puteri Yang Ditukar itu, dirinya bukanlah individu yang sesuai untuk mengesahkan sama ada Fasha hamil atau tidak.

"Saya tidak boleh beritahu atau kongsi apa-apa mengenai keadaan Fasha sekarang ini walaupun memang saya sudah mengetahuinya.

"Bagi saya hamil atau tidak, biarlah Fasha sendiri yang kongsi berita itu. Tapi Alhamdulillah tak kisah apa-apa pun, saya tumpang gembira untuk Fasha sekeluarga," tambahnya lagi.

Terdahulu, Fasha disahkan mengandung selepas perkahwinannya bersama Aidil Aziz, Mac lalu namun Fasha mengalami keguguran.

Menerusi perkahwinan terdahulu Fasha dengan Jejai atau nama sebenarnya Rizal Ashram Ramli, dia mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 5, dan Putri Raysha Jemyma, 4.