HIBURAN

Tak Boleh Nak Berahsia, Amir Raja Lawak Dedah Zizan Razak Ada Hulur Bantuan - “Kalau Ikutkan Dia Tak Mahu…”

Asyraf Roslan 08/08/2025 | 03:55 MYT
Pelakon dan pengacara, Zizan Razak menyorot perhatian netizen selepas menghulurkan bantuan kepada rakan industri, Amir Raja Lawak.

Menerusi satu hantaran di Instagram Amir Raja Lawak, Zizan difahamkan cuba menyampaikan bantuan kepadanya yang memerlukan dana untuk merawat ayahnya yang tidak sihat.

“Zizan ni pula saya kena bagitahu jugak, kalau ikutkan dia sendiri mungkin tak mahu benda ni diceritakan. Cuma saya nak orang tahu dia ada bersama saya, dan saya saksi Zizan orang yang baik hati

“Semoga Zizan, dan yang lain-lain semua di bawah rahmat Allah selalu, dijauhkan dari benda yang bukan-bukan,” tulisnya.

Menurut Amir lagi, selain Zizan, beberapa rakan artis dan kenalan industri lain turut mengambil berat tentang keadaannya.

Antaranya adalah Mamat Sepah dan pelakon, Cip Lando Zawawi (VRUS).

“Mamat Sepah pun bertanya khabar jugak, cip Lando Zawawi Vrus pun hari tu awal-awal lagi call saya bertanya khabar, bila saya bagitahu keadaan sebenar dan belum habis ayat lagi, dia terus mintak nombor akaun, sangat steady cip.

“Produser, orang belakang tabir, kawan-kawan artis, dan geng pelawak lain pun ada yang ambik cakna jugak, cuma yang 2 orang ni selalu nampak aktif dengan saya, jadi saya sebut nama diorang je la ye,” tambahnya.

Terdahulu, pelawak, Amir Raja Lawak menyeru sekali lagi pihak stesen televisyen tersebut untuk menyelesaikan hutangnya yang tertunggak sebanyak RM18,000 secepat yang mungkin.


Menerusi perkongsian di Instagram, Amir menegaskan wang tersebut sangat diperlukan untuk menampung kos keperluan harian dan rawatan ayahnya yang sedang sakit.
#Zizan Razak #Amir Raja Lawak