GAYA HIDUP

“Tak Boleh Sembuh Sepenuhnya Tapi Bukan Punca Mandul!” - Dr Aen Kongsi Mitos & Fakta Tentang Herpes Yang Ramai Tak Tahu

Umirah Halim 23/06/2025 | 09:25 MYT
Isu penyakit herpes kembali menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen susulan satu video tular yang memaparkan seorang usahawan berkongsi tentang pengalamannya dijangkiti virus tersebut.
Bagi menjernihkan kekeliruan, Dr Aen, penasihat kesihatan wanita, (women’s health advocate) yang memiliki kelulusan DBA dan Professional Diploma in Obstetrics & Gynaecology (PDip O&G) tampil berkongsi penjelasannya mengenai penyakit yang masih dianggap taboo ini.
Menurutnya, virus herpes dibahagikan kepada dua kategori iaitu HSV1 dan HSV2 (Herpes simplex virus).
“Secara ringkasnya, herpes ni ada dua jenis ada yang sexually transmitted disease, ada juga yang bukan. Maksudnya, bukan semua herpes datang daripada hubungan seksual.
“HSV1 ni contoh orang boleh dapat kalau dia berkongsi alat solek seperti lipstick dekat beauty store. Kalau orang tu ada ulcer atau luka, virus boleh berjangkit. Itu bukan jangkitan seksual, tapi masih herpes.
“HSV2 pula kita panggil sebagai genital herpes, yang memang biasa berjangkit melalui hubungan seksual, sama ada secara oral sex ataupun penetration,” ujar Dr Aen ketika dihubungi Gempak.

Herpes Tak Boleh Sembuh, Tapi Tak Membunuh

Jelas Dr Aen lagi, simptom utama herpes adalah kemunculan ulser atau ‘cold sore’ yang menyakitkan di bahagian mulut atau kemaluan.
“Kedua-dua jenis ni boleh sebabkan ulcer atau cold sore. Rasa dia pedih, sakit… tapi dia tak akan meragut nyawa.
“Kalau kena HSV2, ulcer tu akan muncul dekat kemaluan lelaki atau wanita,” kongsinya.
Walaupun herpes boleh menyebabkan ulser yang pedih dan tidak selesa, Dr Aen menegaskan bahawa penyakit ini tidak membawa maut.
Namun, sekiranya pernah dijangkiti, virus itu akan kekal berada dalam badan seumur hidup.
“Ya, memang herpes tak sembuh. Tapi dia boleh ‘senyap’ maksudnya tak ada ulcer. Bila tak ada ulcer, risiko berjangkit sangat rendah.
“Herpes ni bila dah kena, dia memang akan ada dalam badan seumur hidup. Setiap tahun atau bulan, boleh datang semula ulcer tu.
“Tapi kalau ada ulcer, kita sangat nasihatkan untuk tidak bersama atau bersentuhan dengan sesiapa. Kadar keberjangkitan tinggi masa ni.
“Kalau genital, memang kena elak hubungan intim untuk elak jangkit pasangan,” ujarnya.
Tambahnya, herpes juga boleh menjangkiti sesiapa sahaja termasuk bayi, sekiranya ibu dijangkiti ketika hamil.
“Ramai yang sangka herpes cuma kena dekat golongan tertentu, tapi sebenarnya sesiapa pun boleh kena. Contohnya, ibu yang mengandung kalau ada herpes, dan lahirkan bayi secara normal, bayi boleh dijangkiti sejak lahir.
“Peratusan herpes dalam dunia agak tinggi sebenarnya sebab dia tak selalu tunjuk simptom kecuali bila ulcer keluar.” tambahnya lagi.

Simptom & Bezanya Dengan Ulser Biasa

Dari segi simptom pula, herpes biasanya bermula dengan demam ringan diikuti dengan kemunculan ulser sama ada di bahagian mulut atau kemaluan.
Bezanya dengan ulser biasa, herpes boleh muncul di bahagian luar bibir dan sekitar muka, bukan sekadar di dalam mulut seperti yang biasa dialami akibat tergigit atau kurang minum air.
“Biasanya simptom bermula dengan demam dan selsema, kemudian baru keluar ulcer.
“Ulcer herpes ni boleh keluar dekat luar bibir, bukan sekadar dalam mulut. Kalau yang dalam mulut tu mungkin ulcer biasa sebab tergigit ke, kurang air.
“Kalau ulcer dekat kemaluan pula, memang sakit. Ulcer dekat bahagian tu bukan sesuatu yang normal, dan biasanya kita akan kaitkan dengan herpes.” kongsinya.

Mitos Yang Ramai Percaya Tapi Salah

Berkongsi mengenai mitos yang sering bertebaran, Dr Aen menjelaskan bahawa herpes tidak akan menjejaskan kesuburan atau menyebabkan kanser.
“Ada orang kata herpes boleh sebabkan mandul, jawapannya, tidak. Herpes tak ganggu kesuburan.
“Ada juga yang kata herpes boleh sebabkan kanser, itu pun salah. Virus yang boleh sebabkan kanser adalah HPV (Human Papilloma Virus), bukan herpes.
“Herpes memang selalu dikaitkan dengan jangkitan seksual, tapi ia tak membawa maut. Cuma dia tak boleh hilang dari badan.
“Kalau kita stres pun, ulcer herpes boleh muncul semula,” katanya.