Kehangatan Aidilfitri mungkin sudah berakhir tetapi sambutan masih diteruskan. Zhafir Muzani bersama beberapa koreografer terkenal Malaysia akan membawakan sebuah persembahan, KonTra : Bianglala koleksi tarian yang terinspirasi dari tarian-tarian tradisional yang dikembangkan menjadi karya baru dari 16 hingga 19 Jun 2022 di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).

KonTra, merupakan hybrid antara dua perkataan iaitu kontemporari dan tradisional, manakala Bianglala bermaksud pelangi, merupakan sebuah siri persembahan koleksi tarian yang menggabungkan tarian-tarian tradisional, klasik atau tarian rakyat dari komuniti-komuniti yang terdapat di Malaysia dengan elemen-elemen seperti kontemporari, kreasi baru, kreatif, digital atau sebagainya tanpa batasan.

Barisan pengkarya yang terdiri daripada enam koreografer, kebanyakannya pemenang anugerah, akan menginterpretasi pelbagai bentuk tarian seperti Zapin dan kuda kepang yang popular di Johor, tarian tradisional istana Melayu Tari Inai, Terinai, tari joget yang dipercayai berasal dari tarian asal Portugis serta seni mempertahankan diri seperti silat untuk mencipta enam karya unik yang diberikan nafas baru.

Berikut merupakan karya-karya menarik yang korang boleh saksikan di KonTra: Bianglala:

1. Minangkabau

Diilhamkan oleh adat dan tradisi yang terdapat di Malaysia, semua tarian ini mempunyai kisah untuk diceritakan termasuk "Raso" (juga bermaksud Rasa) ciptaan Kerol Mohtar, pengasas Nyala Dance Theatre dan pemenang pelbagai anugerah dalam Festival SHORT+SWEET kategori tarian, Festival Tari dan lain-lain. Diilhamkan dari falsafah tradisional Minangkabau, beliau bijak mengahwinkan tarian tradisional yang berbeza dengan unsur Minangkabau.

2. Gimnastik & sarkas dalam silat

Satu lagi gabungan yang menarik ialah "Buu-Geng" koreografi Sharm Noh. Dengan latar belakang tarian, gimnastik dan seni sarkas, sebagai Pengarah Artistik Psycusix, beliau membawakan satu pandangan yang menarik terhadap bentuk seni mempertahankan diri tradisional, gerakan Silat dengan menggunakan buugeng yang merupakan alat peraga dalam seni aliran.

Perkataan ‘Buu’ bermaksud mempertahankan diri manakala ‘geng’ bermaksud ilusi.



3. Kuda kepang, iban dalam Mulan

Graduan ASWARA, Yee Teng pula menggunakan pertembungan elemen feminin dan maskulin daripada cerita dongeng popular, iaitu Mulan. Pelajar Ijazah Sarjana Tarian ini bijak menganyam pergerakan feminin dan maskulin daripada tarian tradisional Melayu dengan unsur-unsur kuda kepang dan beberapa pengaruh tarian Iban dalam “MULAN”.

4. Tari Inai & Terinai

Seterusnya, Dayang Norinah akan mempersembahan "Aku Mau" yang terilham dari Tari Inai serta Izzie Islam dengan persembahan "Nian", yang diinspirasi dari Tarian Terinai.

Walaupun berbeza, namun kedua-duanya adalah bentuk tarian klasik yang dipersembahkan di istana. Tarian Inai sering dilihat semasa upacara berkhatan pembesar istana manakala Tarian Terinai biasanya dipersembahkan dengan lilin.



5. Zapin, Joget dalam tari Bali

Akhir sekali, Zhafir Muzani, pemenang lima anugerah untuk persembahan tarian yang terinspirasi dari tari Bali, akan menginterpretasi sebuah karya ciptaannya yang bernama “Sujud”, gabungan tarian Zapin dan Joget serta mempunyai suntikan Nusantara, bereksperimen dengan olahan tubuh, muzik dan vokal.



KonTra : Bianglala merupakan satu inisiatif untuk mengangkat seni budaya tradisional yang terdapat di Malaysia agar tidak berada di takuk yang lama sahaja dan dalam masa yang sama dikembangkan menjadi karya baru agar mampu menarik minat masyarakat terutamanya anak-anak muda di Malaysia disamping mengasah kreativiti penggiat seni tari di Malaysia tanpa batasan. Apabila lambaian tradisi dan arus modenisasi seiring berkembang, barulah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Disokong oleh klpac dan MyCreative Ventures, tiket untuk KonTra : Bianglala berharga RM50 dan boleh dibeli atas talian di pautan www.cloudtix.co/org/klpac.

Layari www.klpac.org untuk maklumat lanjut, hubungi 03 4047 9000 atau WhatsApp +6018 227 7212 bagi sebagai pertanyaan. Sumbangan boleh dibuat melalui https://www.klpac.org/donations/.