HIBURAN

Tak Cepat Melatah, Ella Nasihat Pendatang Baharu Perlu Persiap Mental: “Tidak Boleh Emosi”

Maliah Surip 04/03/2025 | 16:45 MYT
Melihat ramai selebriti dan pempengaruh generasi kini yang berdepan dengan buli siber sehingga patah semangat, Ratu Rock Negara, Ella menasihatkan agar memberi fokus kepada perjuangan (karier) berbanding terkesan terhadap komen-komen negatif yang diberikan.
Hal ini menurut Ella, jika seorang artis ‘melayan’ komen negatif sehingga terjadi buli siber, ia akan merugikan masa dan peluang mereka berkembang.
Malah kata legenda yang cukup disenangi ramai ini, kunci utama untuk kekal dalam tempoh yang panjang sebagai artis adalah bersedia dengan semua keadaan.
“Sebelum menjinakkan diri atau masuk ke dalam industri seni, sseorang itu perlu bersedia. Perlu bersedia daripada semua segi.
“Tidak boleh emosi, berkurung di rumah, melayan emosi. Sampai bila? Apapun jadi kita tetap kena lalui kerana jika melayan emosi, kita tidak akan pergi lebih jauh,” ujarnya Ella saat ditemui sewaktu Majlis Iftar Rockqueen Ella bersama Hotel The Saujana Kuala Lumpur.
Pada majlis sama, Ella turut meraikan anak-anak yatim Rumah Bakti Nur Syaheera dalam sesi Kongsi Rezeki dan memperkenalkan koleksi busana dari Rockqueen sempena Aidilfitri yang boleh didapati di SACC Mall, Shah Alam dan dalam talian.
Menurut Ella lagi, kecaman adalah hal yang tidak dijangka dan bukan sesuatu yang dirancang apa lagi dalam dunia masa kini yang tiada sempadan, semua hal negatif akan selalu hadir.
Namun kata Ella, sekali lagi ia berbalik kepada kekuatan dan ketahanan mental seorang artis untuk mengatasinya.
“Kecaman jadi bukan kerana kita rancang, ia berlaku tanpa disangka. Ada artis tak mahu kena kecam, tapi diri sendiri buat perkara yang mengundang kepada kecaman.
“Jadi kenalah kuat. Pada saya jika sudah berani lakukan (karier) kalau kena kecam ke apa, jangan ‘diam’ (emosi dan menyorok). Teruskan dan tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan lain,” pesan Ella.
Ditanya bagaimana Ella berdepan kecaman sepanjang 30 tahun menjadi anak seni, beliau mengaku sebagai seorang yang tidak cepat melatah.
“Untuk saya jika kecaman itu tidak melampau, saya abaikan. Jika ia keterlaluan baru saya akan berbinvang untuk sebarang tindakan.
“Tapi biasanya saya abaikan kerana saya sejak dulu tidak cepat melatah,” katanya lagi.
Terdahulu terdapat ramai dalam kalangan artis baharu seperti penyanyi Aina Abdul yang mengaku menangis dan seminggu berkurung di rumah kerana dikecam peminat dan pempengaruh Ryan Bakery yang berputus asa untuk tidak mahu bertanding dalam anugerah Gempak Most Wanted 2024 kerana mengalami buli siber.
#Penyanyi #Viral #Ella #Artis #Nasihat #emosi