HIBURAN

Tak Cukup Duit, Jung Sung Il Jadi Delivery Boy Selepas Popular Dengan The Glory

Maliah Surip 23/08/2025 | 14:00 MYT
Aktor Jung Sung Il barangkali dilihat popular menerusi beberapa filem termasuk The Glory yang ditayangkan pada 2022.

Namun di sebalik populariti yang diraih, realiti kehidupan Sung Il tidak seindah yang disangka.

Sewaktu menjadi tetamu program Moo No Plan 2, Sung Il membuat suasana hening selepas mengaku masih perlu melakukan pekerjaan tambahan walaupun namanya waktu itu meledak dengan drama The Glory.

Lelaki berusia 45 tahun itu mengatakan dia melakukan kerja berkaitan penghantaran untuk kelangsungan hidup.

“Secara asas, saya melakukan semua kerja berkaitan penghantaran sebagai kerja sampingan.

“Pekerjaan sampingan ini saya lakukan walau setelah The Glory. Walaupun saya mendapat bayaran yang baik namun ia tidak cukup.

“Saya perlu melakukan pekerjaan lain untuk bertahan hidup,” dedah Sung Il kepada hos, Jun Hyun Moo dan KwakTube seperti dilaporkan K-eenews.

Menurut Sung Il, pekerjaan penghantaran barangan bukan sesuatu yang asing buatnya.

Bintang Uprising dan Unmasked ini telah melakukan pekerjaan tersebut selama 20 tahun selepas dia berhenti belajar di sebuah kolej dan memutuskan untuk terlibat dengan teater.

“Saya sudah lakukan kerja tambahan sejak berlakon teater,” akuinya lagi.

Namun dia kemudian mengaku kehidupannya kini lebih baik dan tidak bergelut dengan masalah kewangan. Sung Il juga tidak lagi melakukan kerja tambahan untuk menampung kehidupan.

“Sekarang saya boleh katakan pendapatan berlakon adalah lebih baik dan saya tidak lagi perlu melakukan pekerjaan lain,” katanya.
#Popular #The Glory #Jung Sung Il #Delivery Boy