Penyanyi Hafiz Hamidun, 33, akui sayu melihat keadaan anak kepada anggota kumpulan nasyid UNIC, Bazli Hazwan, Muhammad Syahid, 4, yang menghidap kanser Lymphoma.

Menurut Hafiz, 33, dia tidak dapat membayangkan seorang anak kecil berusia empat tahun menanggung derita untuk melawan penyakit yang dihidapinya.

“Tak dapat bayangkan keperitan yang dihadapi oleh seorang anak kecil menanggung derita untuk melawan kanser.

“Bazli merupakan seorang ayah yang sangat kuat dan tabah, dia sentiasa berada di sisi Syahid tidak kira masa.

“Saya juga tak tahu bagaimana nak ungkapkan perasaan yang dialami oleh Bazli apabila melihat keadaan anaknya yang terpaksa menjalani rawatan kemoterapi.

“Saya dan Bazli sudah berkawan lama dan saya faham sebagai ayah sudah pasti dia mahukan yang terbaik untuk anaknya,” katanya.

Hafiz ditemui pada majlis sidang media Konsert REUNIC bertempat di Restoran Rebung Datuk Chef Ismail, Jalan Tanglin, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai konsert REUNIC, Hafiz memberitahu ini merupakan salah satu usaha untuk membuat pungutan tabung amal bagi membantu kanak-kanak pesakit kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Perancangan konsert dibuat dah hampir setahun dan awal tahun ini baru kami pilih tarikh yang sesuai iaitu malam israk mekraj.

“Pada mulanya konsert ini memang untuk reunion Unic tapi pada masa yang sama kami juga prihatin terhadap keadaan anak Bazli.

“Konsert ini adalah sebagai tanda sokongan moral untuk Syahid dan juga kanak-kanak pesakit kanser.

“Jadi tabung amal ini bukan sahaja untuk membantu Syahid tetapi juga kanak-kanak yang sedang membuat rawatan kanser di wad yang sama dengannya,” jelasnya.

Syahid yang kini dirawat di HKL akibat kanser Lymphoma merupakan anak hasil perkahwinan Bazli dengan isterinya, Asiah Abu Bakar, 27.

Konsert REUNIC bakal berlangsung pada 23 April 2017 di Dewan Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada jam 9.00 malam.

Tiket konsert boleh dibeli secara online menerusi www.reunic.com atau dipintu masuk dewan USIM (pada hari konsert) dengan harga RM15, RM25, RM50 dan RM100.

Teks oleh: Mya Amri