HIBURAN

Tak Dapat Berehat, Jadual Kerja Remy Ishak Penuh Sampai Tahun Depan - “Sebenarnya Saya Seorang Yang…”

Asyraf Roslan 21/08/2025 | 02:55 MYT
Pelakon, Datuk Remy Ishak mengakui hasratnya untuk berehat panjang daripada dunia lakonan masih belum dapat direalisasikan kerana jadual kerja yang padat sehingga tahun hadapan.


Menurut Remy, setiap kali dia menolak tawaran, pasti akan ada peluang lain yang datang kepadanya sehingga sukar untuk benar-benar berhenti seketika.


"Memang saya jarang kongsi kerja di media sosial tapi sebenarnya jadual saya agak padat dan baru sahaja selesai penggambaran filem aksi seram, Mikail.


“Sepatutnya lepas projek itu, saya memang berjanji dengan diri sendiri untuk berehat. Saya sudah maklumkan kepada semua orang, malah saya terpaksa menolak tawaran satu filem daripada pengarah Adrian Teh kerana benar-benar mahu berehat.


"Saya ingatkan bolehlah berehat, tetapi kemudian datang pula tawaran lain. Saya sudah beritahu isteri yang saya mahu berehat, tetapi nampaknya tak boleh," katanya.


Dalam masa sama, pelakon filem The Experts itu turut mengakui dirinya seorang yang kuat bekerja dan sukar berenggang dengan dunia lakonan.

Kata Remy, walaupun cuba merancang untuk bercuti rasa rindu terhadap dunia lakonan akan kembali menguasai diri.

"Ada skrip daripada Media Prima yang susah untuk saya katakan tidak, sebab skripnya bagus. Jadi sekarang saya sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri itu sehingga September ini.


"Selepas itu, saya akan masuk ke set penggambaran filem lain pula. Jadual saya berterusan dan sudah terisi sehingga hujung tahun depan. Jadi, perancangan untuk berehat itu hanyalah dalam mimpi.


"Sejujurnya saya ini seorang workaholic. Saya cuba merancang untuk berehat sebulan dua, tetapi tak boleh. Masuk minggu kedua sahaja, tangan sudah mula 'gatal' untuk kembali bekerja,"tambahnya.

#Remy Ishak #Kerja