Laman Utama

Tak Dapat Buat Konsert, Coldplay Taja Mesin Perangkap Sampah Bersihkan Sungai Di Malaysia

gempak
Maliah Surip
30/03/2021
11:20 MYT
Sponsor Banner
Tak Dapat Buat Konsert, Coldplay Taja Mesin Perangkap Sampah Bersihkan Sungai Di Malaysia
Kumpulan terkenal dari Britain, Coldplay nampaknya mempunyai cara tersendiri dalam menyapa dan memastikan hubungannya dengan peminat di Malaysia kekal relevan.
Walaupun tidak pernah berkesempatan melakukan konsert di Malaysia, Coldplay tak bitter.
Coldplay yang terkenal sebagai salah satu penyokong kuat hijau dunia itu bakal menaja mesin memerangkap sampah sungai Interceptor 005 yang akan digunakan di Malaysia.
Lebih menarik, kolaborasi yang disepakati bersama pertubuhan dari Belanda, The Ocean Cleanup itu tidak berasaskan keuntungan.
Mereka hanya mempunyai matlamat untuk mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke laut.
“Jika tiada tindakan, mungkin akan lebih banyak plastik daripada ikan di lautan pada tahun 2050. Maka sebab itulah kerja The Ocean Cleanup sangat penting.
“Kami bangga menaja Interceptor 005 yang akan memerangkap ribuan tan sampah sungai sebelum sampai ke lautan," kata mereka dalam satu kenyataan seperti dilaporkan BERNAMA baru-baru ini.
Sementara itu, kumpulan yang terkenal dengan lagu seperti Fix You itu juga dengan bangga mengumumkan kolaborasinya untuk membersihkan sampah sebelum ia sampai ke laut menerusi akaun Instagram rasmi mereka, @coldplay.
"Kami berbangga untuk mengumumkan langkah pertama kami berkolaborasi dengan @theoceancleanup:. Sebuah jentera baharu iaitu Interceptor yang digelar Neon Moon 1. Sistem ini akan mengutip sampah sarap sebelum ia sampai ke lautan," tulis mereka.
Kelak, Interceptor ini akan menjadi yang kedua beroperasi di Malaysia selepas Interceptor 002 telah beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019 lalu.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat, Malaysia adalah negara pertama yang akan menerima Interceptor 005.
Ia sedang dibina di kemudahan MHE-Demag di Klang dengan kerjasama firma Finland, Konecranes.
Interceptor adalah sebuah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sehari sampah terapung yang dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.
Direka khas untuk membendung pencemaran di 1,000 sungai paling tercemar di dunia, Interceptor 005 adalah salah satu daripada dua unit yang dihasilkan dalam siri rekaan generasi ketiga teknologi ini.
Turut dikenali sebagai New Moon 1, Interceptor 005 akan terus beroperasi sejurus selepas ia siap dibina menjelang pertengahan tahun ini, jelas Slat dalam sebuah kenyataan.
Menurut Slat, sisa plastik dari sungai akan dibawa arus sehingga ke tempat pusaran sampah di tengah lautan, yang mana sampah sarap akan terkumpul di dalam arus berputar itu selama bertahun-tahun.
Kekurangan tindakan untuk mencegah pencemaran ini akan meningkatkan kesan buruk terhadap ekosistem, kesihatan dan ekonomi.
Sejak 2019, The Ocean Cleanup telah mengumumkan inisiatif Interceptor untuk saluran air tercemar di pelbagai negara seluruh dunia termasuk Indonesia, Republik Dominica, Vietnam, Amerika Syarikat, Jamaica dan Thailand.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024