Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Tak Kisah Digelar Pelawak, Mark Adam Akui Suka Buat Orang Ketawa

Mya Amri 13/02/2017 | 11:26 MYT
Penyanyi dan pelakon Mark Adam akui tidak mencipta nama sebagai seorang pelawak sebaliknya kerap diberikan tawaran untuk melakonkan watak komedi.
“Bukan saya tak pernah berlakon watak serius, pernah kira-kira tiga tahun yang lalu tetapi waktu itu saya belum melibatkan diri dalam program lawak seperti Super Spontan.
“Jadi orang kurang mengenali saya. Selepas masuk Super Spontan, saya banyak diberikan tawaran untuk berlakon watak komedi.
“Ramai yang gelar saya pelawak, sebenarnya saya tak cipta nama pun sebagai pelawak tetapi mereka yang kerap gelarkan saya dengan nama tersebut.
“Saya akui dapat lihat impak lakonan saya lebihnya kepada komedi,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Mark juga turut memberitahu tidak kisah digelar pelawak kerana dia sememangnya gemar menghiburkan hati peminat.
“Kalau tanya saya seorang yang lucu atau pun tidak, rasanya kalau mereka ketawa itu maknanya saya kelakar.
“Bagi saya komedi itu bagus, bila kita lihat orang ketawa secara tidak langsung kita rasa seronok dan saya sangat sukakannya,” ujarnya.
Mengulas mengenai cara pertuturannya, Mark menjelaskan boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
“Setakat ini tidak ada orang yang mengutuk cara percakapan saya tetapi saya bersyukur kerana ramai yang membantu.
“Mereka juga kata tidak perlu belajar dengan terburu-buru dan hasilnya saya rasa bahasa Melayu saya semakin baik daripada sebelumnya,” jelasnya.
Dalam perkembangan terbaru, Mark akan tampil dalam telemovie terbaru berjudul Hisyam dan Tiga Hantu Teers tidak lama lagi.
Teks oleh: Mya Amri
#Penyanyi #Mark Adam #Penyanyi
;