Pengarah tersohor Mamat Khalid amat berbesar hati apabila naskhah Astro Originals drama Kampong Pisang bersiri-siri mendapat reaksi positif masyarakat.

Menurut Mamat, dia bersyukur apabila ada golongan petugas barisan hadapan yang menjadikan hasil seninya sebagai bahan untuk meringankan ‘stress’ selepas seharian bekerja.

“Mungkin tak lah besar sumbangan abang terhadap masyarakat berbanding pengorbanan mereka.

“Tetapi abang amat berbesar hati kerana dapat menyumbang dalam bentuk yang sebegini, membuatkan penonton semua terhibur.

“Terutamanya mereka yang terlibat dengan badan beruniform dan petugas barisan hadapan.

“Jika dengan menonton hasil seni abang dapat melupakan seketika tentang tugas-tugas yang mereka galas, saya sangat berbesar hati,”ujarnya ketika dihubungi Gempak.

Tambah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini lagi, dia sememangnya mencipta sesuatu karya itu tanpa mengira had umur dan bertujuan untuk menghiburkan.

“Sememangnya siri Kampong Pisang ini kami adunkan untuk tontonan semua peringkat penonton. Semuanya bergantung pada niat kita dalam menghasilkan sesebuah karya.

“Niat abang mahu buatkan orang terhibur dengan setiap karya abang. Alhamdulillah ia diterima,” jelasnya lagi.

Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro pada Khamis, Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor memuji drama Kampung Pisang Bersiri-siri arahan Mamat Khalid.

Meminati semua karya arahan Mamat, beliau turut terhibur sehingga pecah perut ketawa dan terkeluar air mata.

Tambah beliau lagi, jenaka yang disampaikan dalam suasana santai membuatkan ‘stress’ seharian akibat kerja hilang dengan tawa sendiri.

Sementara itu Mamat yang kini sibuk dengan penggambaran akan tampil dengan dua supertele untuk tontonan bulan Ramadan dan Aidilfitri kelak.

“Yang pertama adalah 18 Puasa: Neraka di Kampung Pisang dan kedua Kampung Pisang Istimewa Muzikal Raya.

“Abang juga terlibat dengan sebuah sitkom yang akan menjalani pengambaran di Ipoh sebanyak 26 episod,” ujarnya.