Gaya Hidup
Tak Lapuk Ditelan Zaman...Ini Lima Kuih Raya 'Mesti Ada' Di Musim Lebaran!
Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi. Seperti biasa, sudah semestinya ramai yang sudah membeli atau membuat sendiri kuih raya di rumah masing-masing.
Tahun ini pula menyaksikan perbezaan dalam sambutan Aidilfitri ekoran penularan wabak COVID-19, perkara ini membuatkan orang ramai lebih selesa untuk membuat persediaan perayaan secara sederhana di rumah sendiri, termasuklah menyediakan hidangan seperti biskut atau kuih raya.
Di sini, Gempak senaraikan lima kuih raya terkenal zaman berzaman yang 'mesti ada' di musim lebaran setiap tahun.
1. Lidah Buaya
Sudah tentu ramai yang menggemari kuih Lidah Buaya ini. Diperbuat daripada bancuhan tepung yang digoreng, kemudian disalut gula, keenakkan rasa lemak, manis dan rangup menjadikan kuih ini sangat digemari oleh setiap lapisan masyarakat.
2. Semperit
Sebut sahaja Semperit, sudah tentu ramai yang terbayang akan rasa ketika memakannya! Bahan-bahan untuk membuat kuih ini juga tidaklah rumit, boleh dikatakan semuanya senang didapati di mana-mana pasaraya mahupun kedai runcit. Yang pasti, Semperit memang sedap dan 'legend'!
3. Kuih Bangkit
Kuih Bangkit mempunyai rasa yang lemak dan manis. Ia sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina dan Melayu ketika menyambut perayaan di negara kita. Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Kuih Bangkit adalah tepung ubi kayu, tepung gandum, pati santan atau serbuk kelapa dan macam-macam lagi. Bayangkan rasa Kuih Bangkit yang mencair dalam mulut ketika memakannya, memang sedap!
4. Bahulu
Bahulu boleh dihasilkan dengan menggunakan hanya empat bahan iaitu telur, gula, esen vanilla dan tepung gandum. Jika betul teknik adunan dan membakar, tektur bahulu akan menjadi sangat gebu dan lembut disulami rasa lemak manis yang sangat enak!
5. Batang Buruk
Batang Buruk juga tidak kurang terkenalnya, kuih ini mampu membangkitkan nostalgia beraya di kampung halaman pada zaman kanak-kanak. Batang Buruk selalunya mudah didapati di rumah nenek moyang kita, namun ramai juga yang telah menjualnya secara meluas untuk orang ramai.
Itulah senarai lima kuih raya terkenal zaman berzaman pilihan Gempak, banyak lagi kuih raya tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu seperti Putu Kacang, Kuih Karas, Rempeyek dan sebagainya. Semuanya terpulang kepada pilihan dan selera masing-masing.
Apapun, Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pembaca Gempak!