Viral
"Tak Lari, Tak Gila, Tak Tutup Syarikat" - Setahun Selepas Kontroversi Rumah Mampu Milik, Boy Iman Lega
Pelakon dan usahawan, Datuk Dr. Boy Iman mengakui hilang segalanya ekoran kontroversi yang membabitkan dirinya dan isu rumah mampu milik setahun lalu.
Kata Boy Iman, bukan hanya dirinya malah isteri, anak-anak dan keluarga turut merasa tempias kontroversi terbabit.
"Tidak lari, tidak gila, tutup syarikat atau semaksud dengannya.
"Walaupun diri ini kadang kala goyang, tidak mampu, tidak kuat, penat dalam menghadapi dugaan, ujian, cabaran, kritikan, kecaman dan sebagainya yang sangat negatif.
"Bukan sahaja saya, isteri, anak-anak, keluarga, staf, kawan-kawan dan rakan niaga merasa tempiasnya.
"Hinggakan saya hilang segala-galanya, kepercayaan, kewangan, harta, maruah, nama, imej, pengaruh dan sebagainya.
"Saya percaya ianya bukan pengakhiran kepada hidup saya. Titik hitam ini akan membuatkan saya lebih beringat, lebih pandai, lebih bersyukur, lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan sebagai hamba, selebriti dan ahli perniagaan.
"Orang mungkin boleh bunuh jasad saya, tetapi tidak roh saya. Saya doakan mereka yang menganiaya saya, menfitnah saya, menzalimi saya, mengadu domba saya utk diberi hidayah dan balasan yang setimpal oleh Allah," tulisnya menerusi perkongsian di Instagram.
Pada 2 Oktober 2017, media melaporkan Boy Iman bersama dua pemilik syarikat Juta Kelulut Resources ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang dan sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur.
"2 Oktober 2017 sehingga hari ini, saya tak didakwa.
"Lebih dari 30 pegawai penyiasat, lebih dari 10 balai polis dan lebih dari 10 lokap yang saya masuk telah saya jalani dan lalui dengan tenang selama 18 hari.
"Muka saya keluar di semua media cetak dan media elektronik. Nafas saya seakan terhenti diketika itu,
Hanya Allah sahaja yang tau.
"Andai selepas ini saya didakwa ianya dek kerana episod hitam yang saya lalui bersama DBI Properties Sdn. Bhd. yang memberi kesan kepada syarikat saya skrg, DBI Technology Sdn. Bhd.," tambahnya.