Tak Letak Harapan Tinggi, Syamel Takut Tercungap!

Kamaruddin Razal
Januari 17, 2019 07:46 MYT
Penyanyi Syamel mengakui dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk mengekalkan trofi Vokal Terbaik yang disandangnya menerusi Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32) tahun lalu.
AJL 32 menyaksikan Syamel meraih trofi tersebut menerusi lagu Aku Cinta hasil kolaborasinya bersama Ernie Zakri.
Bakal bersaing di AJL 33 yang akan diadakan pada 3 Februari ini, Syamel mempertaruhkan lagu rancak, Kau Pun Sama.
"Saya langsung tak letak harapan tinggi. Tahun lalu pun, saya meraih trofi terbabit menerusi persembahan duet dan lagu yang dibawakan bergenre balada.
"Tahun ini, semuanya berbeza kerana saya membawakan lagu rancak. Separuh peserta AJL 33 yang masuk membawakan lagu balada dan banyak penyanyi senior yang bertanding menjadikan saingan sangat hebat," katanya.
Tambah Syamel, dia juga tidak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap penguasaan pentas.
"Sejujurnya, tahun ini semuanya berbeza bagi saya. Tahun lalu, saya mempertaruhkan lagu solo, Lebih Sempurna dan duet balada, Aku Cinta. Jadi, saya memberikan lebih penegasan terhadap penguasaan vokal.
"Tahun ini, saya tidak boleh memberikan 100 peratus tumpuan terhadap pengusaan vokal kerana lagu Kau Pun Sama mementingkan persembahan. Saya harus menari, menyanyi dan paling penting, saya mahu membuat persembahan terbaik.
"Saya sudah memasuki kelas vokal bersama Ernie dan doakan segalanya berjalan lancar. Saya takut tercungap je nanti," kata Syamel yang sempat berseloroh.
Syamel ditemui di DTC Motors Fest anjuran DTC Motors Sdn Bhd, Jalan Ampang baru-baru ini.
DTC Motors Fest dianjurkan bersempena dengan acara pembukaan syarikat pengedar kenderaan import dan terpakai ini yang terletak bersebelahan Balai Polis Jalan Tun Razak ini.
Selain Syamel, acara terbabit turut dihadiri oleh Pengerusi DTC Motors, Datuk Haron Tamby Chik, Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motors, Md Afendy Wahid serta artis lain seperti Syamel, Norman Hakim dan ramai lagi.
#Penyanyi #Syamel #Penyanyi