Pelakon Azira Shafinaz, 30, menyatakan dia mendapat bantuan daripada seorang cikgu yang merupakan kawan kepada pengarah Syafiq Yusof untuk membimbing ketika membaca ayat Al-Quran dalam filem Penunggang Agama.

Membawa watak sebagai Ustazah Anna, Azira berkata cikgu itu banyak membantu dalam memilih surah yang digunakan supaya sesuai dengan jalan cerita.

"Sejujurnya waktu penggambaran itu, saya dapat banyak bantuan daripada kawan kepada Syafiq yang saya anggap sebagai cikgu ketika itu.

"Dia yang banyak beritahu surah mana yang patut digunakan untuk situasi tertentu. Sebab setiap surah dalam Al-Quran membawa maksud tersendiri," katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun, pemilik nama Azira Shafinaz Ramlan akui memilih surah yang senang untuk dibaca bagi mengelakkan timbul kesalahan di kemudian hari.

"Walaupun ada pilihan, saya pilih yang mana selesa untuk baca. Saya tidak la terlalu mahir dalam membaca ayat Al-Quran.

"Alhamdulillah, cikgu itu banyak membantu memperbetulkan sebutan dan menolong saya untuk lebih yakin menjayakan watak sebagai Ustazah Ana," katanya lagi.

Selain Azira, Penunggang Agama arahan pengarah Syafiq Yusof ini turut dilakonkan oleh barisan pelakon hebat lain antaranya Zul Ariffin, Nasir Bilal Khan, Sabrina Ali, Salina Saibi, Datuk Jalaludin Hassan, adik Puteri Nurqaseh dan Johan As'ari.

Jadi, bagi anda yang belum menontonnya, jangan lupa saksikan Penunggang Agama yang kini sudah berada di pawagam rumah anda, Astro First.

Untuk melanggan sila ke saluran 480, juga boleh strim di Astro GO atau On Demand.

Setiap langganan RM15, penonton berpeluang menonton naskah tersebut berulang kali dalam tempoh 48 jam.

BACA: Pegang Watak Ustazah Dalam Filem Penunggang Agama, Azira Shafinaz Ada Niat Nak Berhijab