Pelakon Hairul Azreen akui tidak mahu terus berehat dan selesa, lalu terus berdiri selepas sehari menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) lutut kirinya.

Malah genap seminggu mengalami kecederaan lutut ketika menjalani penggambaran filem aksi The Original Gangster, Hairul Azreen kini sudah mampu berjalan semula.

“Saya boleh pijak tapi kaki kena sentiasa lurus masa berjalan, selepas itu kena pakai knee brace sentiasa.

“Cuma tak boleh bengkokkan lutut masa berjalan lebih daripada 90 darjah , walaupun hari ni saya dah boleh bengkokkan lutut 90 darjah,” beritahunya tentang perkembangan dirinya selepas sehari jalani pembedahan berkenaan.

Menerusi perkongsian itu, dia memuat naik videonya untuk cuba berdiri dan berjalan menggunakan tongkat serta ‘knee brace’.

Namun perkembangan kakinya semakin baik apabila selepas seminggu dan hari pertama fisioterapi dia sudah boleh berjalan tanpa tongkat.

“Hari pertama fisioterapi,” tulis aktor yang sinonim dengan filem aksi lasak itu.

Dalam hantaran tersebut, Hairul, 35, berkongsi momen dirinya sedang menjalani sesi fisioterapi yang turut ditemani rakan yang juga aktor, Syazwan Zulkifli.

Malah tanda pagar ‘The best never rest’ yang disertakan dalam hantaran berkenaan menunjukkan dia bukan jenis mudah mengalah.

Menerusi ruangan komen, ramai pengikut meluahkan rasa kagum melihat semangat juang pelakon itu untuk cepat pulih.

Mereka yang pernah melalui situasi sama juga berkongsi pengalaman selain menyatakan terpaksa mengambil masa hingga setahun untuk sembuh sepenuhnya.

Minggu lalu, suami kepada pelakon dan hos Hanis Zalikha itu mendedahkan terpaksa berehat daripada meneruskan penggambaran filem arahan Syamsul Yusof tersebut selepas terbabit dalam kemalangan di set lokasi.

Filem yang menjalani penggambaran sejak dua bulan lalu itu merupakan terbitan Syamsul Yusof Films bersama Razor’s Edge Pictures.

Selain Hairul, The Original Gangster turut membariskan Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Soffi Jikan dan aktor Indonesia, Yayan Ruhian