Pelakon Syatilla Melvin menyimpan hasrat untuk membantu menyambung pembinaan semula sebuah masjid yang terbengkalai di Sungai Siput, Perak.

Menurut Syatilla atau lebih mesra dengan panggilan Tilla ini memaklumkan sebahagian daripada hasil jualan produk makanannya yang diusahakan bersama LB Creuset iaitu Nasi Daging Telentang akan disalurkan untuk pembinaan masjid berkenaan.

“Saya tak mahu gunakan keuntungan semata-mata untuk diri saya, bila ada peluang macam ini saya mahu gunakan untuk bantu orang lain.

“Memang rezeki sangat sebab masjid ini pun saya dapat tahu waktu salah seorang ahli keluarga yang berada di Perak memaklumkan mengenai perkara ini.

“Sudah hampir dua tahun masjid itu terbengkali dan keadaan di sana juga teramatlah sederhana. Surau juga sangat kecil, tak mampu nak menampung pelajar Tahfiz.

“Jadi saya terus tergerak hati untuk membantu penduduk kampung, lakukan sesuatu yang boleh memberikan kemudahan kepada mereka mendirikan solat dan juga aktiviti keagamaan.

"Insya-Allah sebahagian keuntungan yang saya peroleh hasil perniagaan nasi daging ini akan disalurkan untuk membina masjid yang terbengkalai itu.

“Kos yang diperlukan untuk membina masjid itu adalah RM200,000. Saya harap anda dapat doakan semoga impian saya ini dapat direalisasikan dengan secepat mungkin," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itut, Syatilla juga mengajak orang ramai untuk menyokong perniagaan kecil yang diusahakan ini.

“Bulan puasa pun sudah hampir dah saya percaya pasti ramai yang ingin bersedekah, beramal dan mengumpul pahala.

"Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk mengajak orang ramai bersama-sama menyokong perniagaan kecil ini.

“Secara tidak langsung, kita juga dapat beramal dan menderma untuk pembinaan masjid itu nanti,” ujarnya.

LB Creuset diterajui oleh dua anak muda, YM Syed Haniff dan Leon Puung yang mempunyai minat mendalam dalam bidang perniagaan serta masakan