Hiburan
Tak Mahu Hilang Fokus, Dayang Nurfaizah 'Membisu' Sebelum Konsert Dayang Dua Dekad
Sebelum melangkah ke pentas bagi memulakan persembahan, setiap penyanyi mempunyai cara tersendiri untuk menghilangkan rasa gemuruh.
Begitu juga dengan Dayang Nurfaizah yang baru sahaja selesai mengadakan konsert Dayang Dua Dekat di Panggung Sari, Istana Budaya pada Ahad lalu.
Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini mendedahkan dia tidak banyak bercakap sebelum memulakan konsert terbabit.
"Sebelum itu, saya banyak berbincang dengan tenaga produksi konsert. Tetapi, sebelum naik ke pentas, saya lebih banyak berdiam sahaja.
"Saya elakkan diri dari banyak bercakap. Pertama kerana gemuruh, kedua kerana saya enggan hilang fokus.
"Saya perlu bertenang sebelum memulakan konsert. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya terharu dengan sambutan peminat yang tidak berbelah bahagi," katanya.
Bakal membawa konsert terbabit di Singapura pada Disember ini, Dayang menjanjikan sedikit kelainan untuk penggemarnya di sana.
"Kalau saya nak tukar semua pun, ia agak tidak begitu praktikal kerana semuanya telah di atur.
"Tetapi, ada sedikit kelainan yang saya mahu tonjolkan kepada peminat di Singapura. Insya-Allah, saya menjanjikan usaha sehabis baik untuk meraikan detik manis 20 tahun bersama peminat," katanya lagi.
Foto: Echolaliapictures, Shiraz Projects
Must-Watch Video