"Macam mana nak tahan gelak! Tengok muka saja pun dah kelakar. Tambah lagi dengan ayat-ayat mereka yang bersahaja. Ramona dah tak mampu cover line dah," ungkap Ramona sambil ketawa sebaik sahaja diberitahu ingin ditemu bual oleh Gempak.

Menurut Ramona dia sebenarnya tidak menyangka pihak produksi sudi menjemputnya kembali buat kali kedua untuk Sepahtu Reunion Live.

"Ramona sebenarnya tak sangka pihak produksi nak panggil balik dan kali ini untuk Sepahtu Reunion Live 2020 ni. Rasa tak percaya. Kalau nak tahu, perangai Ramona memang macam ni dari dulu, tapi benda tu tak terkeluar.

"Tengoklah pula watak-watak dalam drama yang Ramona bawa. Asyik-asyik perempuan cantik yang nak kejar jantan, nak rampas laki orang atau boyfriend orang. Selalu dapat karakter yang sama. Jadi karakter sebenar tak terkeluar. Yang keluar kat TV hanya yang dah siap sahaja.

"Ramona sebenarnya bersyukur kerana Sepahtulah yang berjaya mengeluarkan karakter sebenar Ramona. Hampir sepuluh tahun, baru diketahui orang perangai Ramona yang suka ketawa.



"Seriuslah, macam mana Ramona nak tahan gelak. Bila seorang keluar cakap 'eh pink' dan seorang lagi keluar sambut cakap 'pink' jugak. Memang tak mampu cover line dah. Tak boleh!" katanya terus ketawa.

Ditanya bagaimana kalau dia diberi watak komedi dalam drama atau filem, Ramona kembali ketawa.

"Tak tahulah macam mana. Tapi kalau drama tu ada banyak take, tapi yang ni Ramona kantoi teruk sebab live. Memang tak boleh nak sembunyi lagi ketawa tu.

"Cuma Ramona kena sedar diri jugalah bila lepas ketawa tu kena masuk dalam karakter balik. Ya Allah kau tengah berlakon ni kau jadi perempuan jahatlah. Masuk balik karakter, masuk balik karakter, hah dia jadi macam tu," kata Ramona yang tak henti-henti ketawa sepanjang ditemu bual.

Menurut Ramona lagi, sejak awal datang berlatih dia sudahpun bertanya apa yang perlu dilakukan jika dia tanpa sengaja ketawa ketika siaran berlangsung.

"Mereka kata tak apa, gelak saja dan cepat-cepat masuk dalam karakter balik. Tapi kena cepat. Ini pengalaman yang sangat-sangat menyeronokkan! Pengalaman yang Ramona dapat dengan Sepahtu adalah sesuatu yang jarang Ramona dapat.



"Sebelum ini sama ada berlakon filem, drama atau telefilem, semua ada take tapi untuk Sepahtu terus secara spontan dan Ramona sendiri tak pernah ada pengalaman berlakon teater jadi Ramona anggap Sepahtu Reunion ini seperti satu pengalaman teater.

"Di belakang stage memang havoc. Dengan masa yang singkat nak tukar baju dan bersiap untuk masuk babak seterusnya memang kucar kacir tapi itu yang membuatkannya sangat menarik. Kena laju dan kejar masa," kata Ramona tersenyum puas.

Ditanya lagi jika dia dijemput untuk kembali menghiasi Sepahtu Reunion tetapi dia juga perlu menyanyi, Ramona terdiam seketika.

"Kalau ramai sangat yang minta Ramona nyanyi, terpaksalah Ramona menyanyi. Cuma kalau nak tahu, Ramona memang tak suka menyanyi dan tak pandai menyanyi. Sambil mandi bolehlah.

"Sepahtu Reunion Live adalah antara program yang Ramona sangat enjoy bekerja dan kalau dijemput lagi dan lagi, Ramona akan datang biarpun terpaksa menyanyi. Memang Ramona tunggu sangat dari musim yang lepas," kata Ramona mengakhiri temu bual.

Sepahtu Reunion Live 2020 boleh anda saksikan secara langsung setiap hari Khamis, jam 9:00 malam di Astro Warna (127) dan Warna HD (107). Anda juga boleh strim On Demand menerusi aplikasi Astro GO, Astro PVR Box atau Ultra Box. Ketahui lebih lanjut di sini.