Hiburan
"Tak Membazir Tapi Kos Tinggi" - Penerbit Drama Terkesan Shooting Dalam Norma Baharu
Pengarah drama Jaja Ishak akui terkesan dengan norma baharu di set penggambaran seperti yang dibenarkan oleh kerajaan.
Bekerja mengikut Standard Operation Procedure (SOP) baharu kata Jaja, punyai hikmah dan cabarannya sendiri.
"Kita akan mengikut garis panduan seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan saya banyak belajar daripada pengalaman rakan-rakan yang sudah mula berkerja.
"Ternyata semua patuh dengan SOP yang ditetapkan dan lebih berhati-hati kerana tidak mahu ada masalah di kemudian hari.
"Sefaham saya dengan norma baharu ini, pihak produksi boleh berjimat terutama daripada segi penyediaan makanan.
"Jika sebelum ini kru dihidangkan dengan bufet, kali ini makanan disediakan mengikut jumlah yang ada. Jadi tiada pembaziran.
"Selain itu, tiada aktiviti 'membuang masa' seperti berpeleseran kerana perlu mengikut jam bekerja seperti yang ditetapkan. Semua lebih berdisiplin!" katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Jaja bersyukur apabila diberikan pengecualian serta penangguhan untuk memperbaharui lesen dan bayaran modal yang tinggi.
Bagaimanapun kata Jaja, produksi berdepan cabaran sendiri berdasarkan garis panduan norma baharu kerajaan.
"Hakikatnya produksi perlu menambah kos untuk membiayai pegawai keselamatan (untuk semakan suhu).
"Kos logistik lain seperti penginapan perlu dipertimbangkan untuk menjaga penjarakan sosial sesama kru," katanya.
Pun begitu, Jaja akur dengan perintah yang ditetapkan oleh kerajaan dan berdoa keadaan kembali pulih seperti biasa.
Dalam perkembangan lain, Jaja bakal menerbitkan drama bersiri Anak Sena yang mengangkat kisah kehidupan primitif kaum orang asli Batik di pedalaman Pahang.
"Kami sendiri akan menjalankan penggambaran di Taman Negara Pahang dan ia satu naskhah di luar kotak fikiran," ceritanya yang akan memulakan penggambaran akhir tahun ini.
Antara pelakon yang berkemungkinan membintangi drama 8 episod itu ialah Shukri Yahaya, Namron dan Farah Ahmad.
Anak Sena bakal diarahkan oleh Isma Aizal Yusof.
Must-Watch Video