Usahawan wanita yang digelar Makcik Kemboja, Mariyah Yaakob, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mengapikan kaum Melayu.

Pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd. membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Turut mengaku tidak bersalah adalah anak lelakinya, Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam, 22.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membuat suatu penyataan melalui aplikasi TikTok dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Penyataan yang antaranya berbunyi peniaga Melayu malas telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai di sini, pada jam 6 petang, 16 November lalu.

KOSMO! Melaporkan terdahulu pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah minimum RM30,000 dikenakan bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu pasport dua beranak itu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak yang dikhuatiri boleh mengganggu prosiding.

Tertuduh yang diwakili Peguam Kamal Hisham Jaafar bagaimanapun merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan Mariyah merupakan ibu tunggal tiga anak dan pendapatan keluarga itu bergantung sepenuhnya pada perniagaan diusahakan.

Tambahnya, kewangan perniagaan itu bagaimanpun terjejas akibat pandemik Covid-19 dan tertuduh turut menaja keperluan 60 pelajar sebuah pusat tahfiz di Johor.

Ezuan pula merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta yang berpangkalan di United Kingdom dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan ibunya itu.

Beliau turut merayu agar pasport kedua-dua tertuduh tidak perlu diserahkan kepada mahkamah dengan alasan wanita terbabit perniagaan wanita itu melibatkan urusan di luar negara, begitu juga pengajian anak lelakinya.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Mohd. Sabri membenarkan Mariyah dijamin sebanyak RM15,000, manakala anaknya RM10,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan tarikh 12 Januari sebagai sebutan semula bagi kedua-dua kes.