Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Tak Mengapa Jika Tiada Cinta" - Iman Troye Fokus Belajar Dulu

Shahrin Zulkifle
25/07/2022 04:00 MYT
“Saya sangat sibuk bekerja dan belajar, sampai masa untuk bercinta pun tiada”

Itulah jawapan yang diberikan penyanyi, Iman Troye apabila ditanyakan berkenaan status dirinya sama ada sudah dimiliki seseorang ataupun tidak.

Tambah Iman atau pemilik nama asal Siti Nur Alyssa Sahabudin,20, dia pernah didekati oleh seorang lelaki di universitinya dan mereka sempat menjalin hubungan cinta untuk tempoh empat semester.

“Jujur saya katakan, pada awal masuk universiti dahulu saya mencari juga cinta, tapi bila sekarang sudah di akhir pengajian saya berasa tidak mengapa jika tiada cinta, sebabnya saya lebih mahu fokus untuk tugasan pensyarah dan kerjaya saya.

“Tipulah tiada yang mendekati dan tipulah juga untuk saya tidak memilih kan, sebenarnya saya dah pun bercinta dengan seseorang selama empat semester, kemudian kami tidak lagi bersama menjalin cinta, kerana kami memilih untuk fokus pada pelajaran.

“Untuk memberitahu siapa pasangan saya, saya tidak akan berbuat demikian, kerana saya sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada masa akan datang, siapa jodoh saya.

“Pada saya, buat mereka yang ingin bercinta ketika di alam universiti itu adalah pilihan masing-masing. Mungkin mereka mempunyai tanggapan sendiri. Ada yang bercinta ketika belajar disebabkan mereka memerlukan sokongan dari pasangan mereka,” kongi Iman.

Iman ditemui pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021 PTTI yang mana dia merupakan ikon dan duta bagi pusat tuisyen akademik atas talian tersebut.

Tambah pelantun lagu Teman itu, belum tiba masanya untuk dia memandang serius dalam hubungan percintaan kerana usianya yang masih muda.

“Bagi saya, saya masih muda untuk involve dalam percintaan, cinta monyet memang pernah saya rasakan, tetapi untuk ke arah serius belum tiba masanya.

“Walaupun saya pernah menjalin cinta dengan seorang rakan satu fakulti, namun kami perlu fokus belajar kerana pelajaran adalah yang paling utama.

“Jadi untuk masa sekarang, saya fokus sahaja untuk diri saya selain kekangan masa yang sangat padat.

“Nak menangis atau sedih soal tiada cinta tidak sempat pun, tapi menangis sebab assignment adalah,” tambah Iman.

Pada majlis yang berlangsung semalam, PTTI turut meraikan kecemerlangan 335 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pada SPM 2021.

Untuk rekod, seramai 96 pelajar SPM PTTI memperoleh semua A berbanding 34 pelajar pada 2020 dengan menyaksikan peningkatan sebanyak 188 peratus. Sementara itu, seramai 383 pelajar mendapat 7A ke atas (2021) berbanding 158 pelajar (2020) dan peningkatan sebanyak 143 peratus. Selain itu, 522 pelajar memperoleh 5A ke atas pada 2021 berbanding 366 pelajar pada 2020 dengan jumlah peningkatan 43 peratus.

PTTI terus konsisten dalam misi memberi manfaat kepada orang lain terutama pelajar untuk kualiti pendidikan negara yang lebih baik. Malah selepas enam tahun, PTTI terus sinonim dengan calon SPM yang menjadikan pusat ilmiah ini sebagai alternatif terbaik dalam mendapatkan keputusan cemerlang demi masa depan.

#Viral #TikTok #Iman Troye #Lagu Teman #PTTI #SPM 2021 #SPM 2022 #Iman Troye belajar #Iman Troye pernah bercinta
;