Penyanyi baharu, Adami Hairi, 31, enggan disamakan dengan penyanyi yang pernah terkenal dengan julukan Ricky Martin Malaysia, Shawn Baharin.

Biarpun mempertaruhkan genre muzik sama iaitu pop latin, kata Adami dia mahu dirinya dikenali kerana bakat dan kebolehannya sendiri.

"Ya betul. Shawn Baharin dah jauh lebih senior dalam industri, saya akan jadikan insprirasi dan belajar.

"Kalau boleh saya nak orang di luar tidak sama sekali samakan saya dengan Shawn Baharin. Setiap penyanyi itu ada keunikan, kelebihan dan kekurangan masing-masing," ujarnya kepada Gempak.

Adami bagaimanapun mengakui meminati muzik sealiran dengan penyanyi kelahiran Puerto Rico, Ricky Martin.

"Ramai sebenarnya inspirasi muzik seperti Ricky Martin dan Shawn Baharin sendiri. Bagi saya masing-masing ada tarikan dan keunikan tersendiri.

"Namun saya tak nak meniru, hanya belajar dari mereka. Genre pop latin ini adalah percubaan baharu buat diri saya yang sangat berbeza dengan genre-genre yang pernah saya bawakan sebelum ini.

"Untuk imej, saya hanya mengharapkan mereka di luar sana tidak samakan saya dengan penyanyi yang sedia ada.

"Kalau boleh saya nak mereka semua kenal dengan cara saya tersendiri dalam industri ini," tambahnya.

Adami muncul dengan single berjudul Forte yang dicipta sepenuhnya oleh Rosli Ahmad dan diterbitkan Radical Record Studio.

Forte yang bermaksud kuat menceritakan perjalanan sukar Adami sendiri untuk bergelar anak seni.

"Lagu ini menceritakan perjalanan saya dari dulu hingga kini sebelum berada dalam industri seni ini. Dulunya rakan-rakan sendiri tidak memberi sokongan dan merendahkan bakat namun akhirnya apa yang diimpikan menjadi kenyataan.

"Keistimewaan lagu ni sebanarnya kerana rentak pop latin yang mana dah lama sangat kita tak dengar.

"Ini juga pertaruhan pertama saya untuk genre sebegini yang sebelum ni selesa dengan genre balada dan pop," katanya.